Thursday, October 11, 2012

Pertikai bina tandas atas kubur

Pertikai bina tandas atas kubur - Utara - Sinar Harian:

Pertikai bina tandas atas kubur
Tandas baru yang dibina di atas tanah kubur menjadi pertikaian segelintir penduduk kariah Kota Aur, Penaga.
Pertikai bina tandas atas kubur
Mohd Saidi (kanan) ditemani seorang ahli kariah menunjukkan lubang najis yang disediakan bagi mengelak pencemaran najis ke tanah perkuburan.
Penduduk dakwa pihak pengurusan masjid tidak prihatin, peka sensitiviti masyarakat

SEBERANG PERAI UTARA- “Sepanjang pengetahuan, saya tidak pernah menemui sebarang ketetapan hukum yang mengatakan pembinaan tandas di atas kubur haram, makruh atau harus,” kata Imam Masjid Jamek Kota Aur, Penaga, Mohd Saidi Omar, 73, apabila diminta mengulas rungutan penduduk yang kesal dengan tindakan ahli jawatan kuasa masjid berkenaan membina tandas baharu di atas kubur di pekarangan masjid itu.

Mohd Saidi, yang menjadi Imam 1 masjid berkenaan berkata, sepatutnya pembinaan tandas di situ tidak dijadikan isu dan diperbesarkan kerana ia mendapat kelulusan ahli jawatankuasa dan anak kariah dalam satu mesyuarat khas sebelum ini.

“Kita tidak rasa bersalah membina tandas di situ kerana ia untuk kepentingan umum dan mendatangkan kebaikan kepada penduduk, terutamanya kepada waris dan ahli keluarga si mati yang hadir semasa majlis pengebumian.

“Kemudahan tandas ini akan memberi keselesaan kepada orang ramai dan dalam masa sama tidak mengotorkan kawasan masjid kerana mereka boleh menggunakan tandas yang dibina di luar sebagai alternatif,” katanya.

Mohd Saidi berkata, pihaknya tetap meneruskan pembinaan tandas itu dan hanya akan menghentikannya sekiranya mendapat arahan daripada Pejabat Mufti negeri berkaitan hukumnya.

“Kita menyediakan tempat pembuangan khas najis melalui pembinaan sistem pembentung di hadapan tandas baharu itu dalam usaha mengawalnya mencemar kawasan tanah kubur.

“Ia memudahkan urusan pemantauan, termasuk semasa proses menyedut najis dari tandas berkenaan apabila dikesan penuh kelak,” katanya.

Beliau berkata, sebenarnya ia sengaja dijadikan isu pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan ahli jawatankuasa masjid berkenaan, termasuk dirinya apabila lama memikul tugas sebagai imam mengetuai kariah kampung berkenaan.

Pembinaan tandas di penjuru tanah perkuburan masjid itu sejak beberapa hari lalu, tidak disenangi segelintir penduduk apabila mendakwa pihak pengurusan masjid tidak prihatin dan peka dengan sensitiviti masyarakat setempat, terutamanya apabila melibatkan tanah kubur.

Dakwa penduduk, sebagai pentadbir masjid, seharusnya mereka lebih prihatin dan berperanan menjaga kebajikan serta menjauhkan dari melakukan sesuatu yang boleh dipertikaikan anak kariah.

Mereka sepatutnya bina tandas itu di tempat lain kerana kawasan pekarangan masjid luas berbanding di lokasi sekarang.
Mereka juga menolak alasan pentadbir masjid berkenaan apabila mengatakan pembinaan tandas itu perlu dikekalkan kerana ianya merupakan tapak tandas lama yang mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri.

Masjid Jamek Kota Aur itu baru siap dinaik taraf menggantikan masjid lama separuh papan dan batu yang digunakan sejak 1964 lalu dan ia kali pertama digunakan anak kariah untuk solat sunat Hari Raya Aidilfitri, Ogos lalu.

Semasa penggunaan masjid lama, lokasi yang dipertikaikan pembinaan tandas baru ini merupakan tapak asal, tetapi sejak masjid itu siap, kemudahan tandas boleh didapati di dua tempat, termasuk di pintu masuk masjid dan di bahagian tepi bangunan berharga RM3.3 juta itu.

Ini menyebabkan penduduk merasakan tidak perlu lagi tandas baru dibina, terutamanya sehingga melibatkan penggunaan tanah perkuburan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment