Monday, October 15, 2012

Seorang lagi maut serangan Israel



Mayat pemimpin Salafis, Hisham al-Saedini dihantar ke Hospital Shifa, Gaza City. Hisham terbunuh dalam serangan tentera udara Israel di utara bandar Jabaliya, Gaza, kelmarin. - AFP
GAZA CITY 14 Okt. - Seorang penduduk Palestin maut dan beberapa orang lagi cedera dalam serangan tentera udara Israel di Genting Gaza, hari ini.
Serangan itu dilancarkan beberapa jam selepas serangan di wilayah yang sama, semalam yang menyebabkan seorang pemimpin kanan Salafi dan seorang lagi aktivis maut, menurut sumber keselamatan Palestin.
Sheikh Hisham al-Saedini, 43, yang dikenali sebagai Abu Al-Waleed Al-Maqdissi, yang juga anggota Majlis Syura Mujahidin, maut dalam serangan di utara pekan Jabaliya, semalam.
Fayek Abu Jazar, 42, turut terbunuh dalam serangan itu, manakala seorang budak lelaki berusia 12 tahun merupakan antara mereka yang cedera, menurut pegawai perubatan Palestin.
Kedua-dua aktivis itu maut apabila motosikal yang mereka naiki terkena bedilan serangan tentera udara rejim Zionis Israel.
Sheikh Hisham adalah ketua kumpulan Salafi Gaza, Tawhid wal-Jihad dan juga antara pengasas Majlis Syura Mujahidin, gabungan Salafi di Palestin.
Beliau yang merupakan rakyat Jordan dianggap sebagai seorang daripada pemimpin Salafi yang penting di Gaza.
Kem latihan Briged Ezzedine al-Qassam, sayap tentera pergerakan Hamas di Gaza City turut diserang rejim Zionis Israel semalam, tetapi tiada kecederaan dilaporkan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121015/lu_04/Seorang-lagi-maut-serangan-Israel#ixzz29RWTJOEz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment