Bayi 6 bulan perlu bantuan segera
Halili (kanan) menyemak surat doktor berkaitan masalah penyakit anak bongsunya, sambil diperhatikan Azura yang memangku Afiq, semalam.
KOTA BHARU - Hati ibu bapa mana yang tidak sayu, melihat anak kesayangan mereka yang sepatutnya membesar seperti kanak-kanak lain, terpaksa berdepan dengan penyakit kronik walaupun baru sahaja berusia enam bulan di Kampung Tebing Tinggi Sabak, di sini.

Melihatkan keletah Muhammad Afiq Hazwan Halili, pada pandangan fizikal dan zahirnya dilahirkan secara normal dan sihat, siapa sangka bayi itu disahkan doktor mengidap penyakit berkaitan saluran paru-paru tersumbat yang kadangkala membuatkan dia mengalami masalah pernafasan.

Anak bongsu dari tujuh beradik itu, kini terpaksa berulang alik ke hospital oleh ibu bapanya, Azura Salleh, 35 dan Halili Harun, 35, dengan menaiki motosikal buruk, memandangkan hanya kenderaan itulah yang dimiliki bapanya.

Azura berkata, selepas sebulan melahirkan anak bongsu dari tujuh  beradik itu, Afiq mengalami masalah cirit birit yang berpanjangan dan muntah-muntah.

“Namun saya tidak syak dia mengalami penyakit serius ekoran Afiq tidak menangis dan pada sangkaan saya, mungkin dia mengalami alahan terhadap susu yang diminum selain tidak menunjukkan tanda-tanda dirinya dalam kesakitan.

“Tetapi apabila simptom muntah dan cirit-birit kerap berlaku, saya lihat Afiq semakin lemah dan pergerakannya juga amat terbatas,” katanya semalam.

Azura berkata, melihat keadaan anaknya yang semakin serius, dia terus meminta bantuan jiran untuk membawa anaknya ke hospital dan Afiq ditahan dalam wad, disebabkan masalah kekurangan air yang melampau dan menurut doktor jika Afiq lewat menerima rawatan, mungkin anaknya akan menemui ajalnya ketika itu.

“Setakat ini, kami terpaksa menanggung kos rawatannya hampir RM2,000 setiap kali dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan kami juga terpaksa menanggung hutang tertunggak dengan pihak terbabit sebanyak RM6,000 kerana tidak mampu membayarnya memandangkan gaji suami yang tidak tetap,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan untuk anak-anak lain yang masih bersekolah juga amat terbatas, sehingga terpaksa biarkan empat lagi anaknya bergilir-gilir ponteng kerana tidak mampu.

Azura mengharapkan supaya beban yang ditanggung dapat diringankan dan memohon kepada mana-mana pihak yang sudi membantu bagi menanggung kos rawatan Afiq yang berjumlah RM28,000 bagi membetulkan saluran paru-paru bayi itu..

Kepada orang ramai yang ingin menderma, boleh terus menyalurkan sumbangan ikhlas bagi membantu Afiq menjalani rawatan susulan di akaun Maybank 153010797963 atas nama bapa Afiq, Halili Harun.