Friday, November 16, 2012

Komputer teman wanita Petraeus ada maklumat sulit



 
Washington: Sebuah komputer milik Paula Broadwell, wanita yang mempunyai hubungan sulit dengan pengarah Ejen Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), David Petraeus sehingga menyebabkan peletakan jawatan beliau, mengandungi maklumat yang sepatutnya dirahsiakan, kata pegawai keselamatan kebangsaan dan penguatkuasaan undang-undang.

Kandungan dan bilangan bahan terbabit serta persoalan mengenai bagaimana Broadwell mendapatnya adalah amat penting untuk siasatan seterusnya, kata pegawai terbabit. Mereka enggan mendedahkan nama kerana tidak berhak untuk bercakap kepada umum.
Maklumat lanjut mengenai bahan yang diperoleh Broadwell, seorang pegawai simpanan dalam risikan tentera, muncul pada Rabu ketika Pentagon menangguhkan kelulusan keselamatan terhadap beliau.

Ada kebimbangan di kalangan pegawai tentera dan penguatkuasaan undang-undang mengenai kemungkinan berlaku dari hubungan antara Petraeus dan Broadwell yang turut menulis biografi jeneral bersara itu.

Lewat kelmarin, jawatankuasa risikan dewan mengumumkan bahawa Petraeus akan memberi keterangan tertutup pada Jumaat mengenai serangan terhadap Konsulat Amerika Syarikat di Benghazi, Libya.

Pemimpin jawatankuasa risikan Senat dan dewan diberi taklimat mengenai Petraeus oleh FBI dan CIA.

Ketika satu sidang media di Rumah Putih pada Rabu, Presiden Barack Obama berkata tiada petunjuk setakat ini untuk sebarang maklumat yang didedahkan berikutan hubungan terbabit.
Obama berkata setakat ini beliau akan menjauhkan diri daripada sebarang penghakiman sama ada beliau perlu dimaklumkan lebih awal sebelum Rabu mengenai siasatan membabitkan ketua CIA yang meletak jawatan Jumaat lalu sebelum hubungan intim terbabit diketahui umum.

Reuters

No comments:

Post a Comment