Friday, November 16, 2012

Letupan menjelang Awal Muharram ragut 19 nyawa


Kakitangan keselamatan dan penduduk setempat memeriksa lokasi letupan bom kereta di Kirkuk, kira-kira 250 kilometer di utara Baghdad, Iraq, semalam. - REUTERS
BAGHDAD 14 Nov. - Beberapa siri letupan terancang menggegarkan seluruh Iraq hari ini, menyebabkan 19 orang terbunuh dan lebih 150 lagi cedera, menjelang Awal Muharam esok.
Letupan yang berlaku awal pagi itu melibatkan lima bom kereta dan satu kejadian bom tepi jalan yang berlaku di Baghdad serta tiga bandar lain, sekali gus dilihat akan meningkatkan ketegangan di negara ini.
Letupan paling dahsyat berlaku di Kirkuk, wilayah bergolak yang kaya dengan minyak di utara Iraq yang sering menjadi sasaran militan, yang menyaksikan sekurang-kurangnya sembilan orang maut dan 39 lagi cedera.
Di ibu negeri Kirkuk, lima orang maut dan 34 lagi cedera apabila dua serangan bom kereta dan satu bom tepi jalan menggegarkan bandar itu, manakala satu lagi letupan yang menyasarkan tentera peronda di bandar Hawijah mengakibatkan empat maut dan lima cedera.
Di selatan Baghdad berhampiran bandar Hilla pula, satu bom kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di sebuah pasar sibuk, meletup dan menyebabkan lima orang maut dan 35 lagi cedera, menurut polis dan pegawai perubatan.
Satu lagi serangan bom kereta di Dataran Firdaus, Baghdad turut dilancarkan, mengakibatkan seorang terbunuh dan enam cedera.
Keganasan itu berlaku sehari sebelum umat Islam di seluruh dunia menyambut Awal Muharam iaitu tahun baru mengikut kalendar Islam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121115/lu_03/Letupan-menjelang-Awal-Muharram-ragut-19-nyawa#ixzz2CMvuizkN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment