Friday, November 16, 2012

Korban di Syria majoriti adalah penduduk awam


PENDUDUK Syria dan tentera pembebasan Syria berkumpul di tengah-tengah bangunan yang ranap akibat serangan peluru berpandu tentera kerajaan Syria di Marat al-Numan dekat wilayah Idlib, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 15 Nov. - Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia mendedahkan bahawa lebih 39,000 orang yang terkorban dalam konflik di Syria sejak pemberontakan bagi menggulingkan Presiden, Bashar al-Assad tercetus 20 bulan lalu, kebanyakannya terdiri daripada penduduk awam.
Pasukan pemantau itu berkata, daripada jumlah korban itu seramai 27,410 orang adalah penduduk awam, 9,800 askar dan 1,359 askar yang berpaling tadah.
Ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman berkata, 543 orang lagi yang maut tidak boleh dikenal pasti untuk dimasukkan dalam jumlah korban yang kini mencecah 39,112 orang.
Badan pemantau yang beribu pejabat di Britain itu berkata, jumlah kematian tersebut masih tidak menggambar keadaan sebenar kerana data itu tidak melibatkan mereka yang hilang, kebanyakannya dianggap mati, selain kematian anggota militia yang prokerajaan.
Rami berkata, sukar untuk mendapatkan jumlah korban sebenar melibatkan askar dan pemberontak kerana kedua-dua pihak ingin merahsiakan angka anggota mereka yang terkorban.
Pemantau hak asasi manusia itu bergantung kepada jaringan aktivis dan ahli perubatan di hospital awam dan hospital tentera untuk mendapatkan jumlah korban. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121116/lu_05/Korban-di-Syria-majoriti-adalah-penduduk-awam#ixzz2CQhIOGUi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment