Wednesday, November 14, 2012

Krisis Syria: Barat alu-alukan pakatan pembangkang baru

DOHA - Barat dan negara-negara serantau mengalu-alukan pembentukan pakatan baru Syria yang  bertujuan menyatukan pembangkang yang menentang Presiden Bashar al-Assad.

Gabungan Kebangsaan Revolusi Syria dan Angkatan Pembangkang diumumkan di Doha, Ahad lalu.

Presidennya, Moaz al-Khatib merupakan seorang bekas imam Masjid Umayyah di Damsyik yang melarikan diri ke Syria tahun ini.

Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius pula berkata, mereka sedia bekerjasama dengan pemimpin negara lain bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa mewujudkan kuasa pembangkang baru sebagai wakil aspirasi rakyat Syria.

Sokongan turut datang dari Qatar apabila Perdana Menteri, Sheikh Hamad Jassem Al Thani berkata, beliau akan pergi ke pejabat di Kaherah bagi mendapatkan pengiktirafan penuh badan ini.

Usaha negara Barat ini bagaimanapun disekat oleh Rusia dan China yang menyekat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mendesak Bashar untuk menamatkan konflik.

Pemerhati dan aktivis menganggarkan lebih 36,000 orang terbunuh setakat ini dan berates-ratus ribu melarikan diri bagi berlindung di negara-negara jiran.

Kuasa barat dan serantau dalam beberapa minggu kebelakangan ini meletakkan tekanan ke atas pembangkang dan mahu satu saluran diwujudkan bagi memberi bantuan kewangan dan ketenteraan untuk mengurangkan krisis Syria.

Majlis Kebangsaan Syria (SNC) sebelum ini merupakan sebuah badan membantu tetapi tidak cukup berkesan yang mengawal 22 daripada 60 kerusi dalam majlis kepimpinan Gabungan Kebangsaan.

Setiausaha Luar UK, William Hague berkata, langkah ini merupakan sebuah peristiwa penting dalam membentuk pembangkang yang baru.

Majlis Perwakilan Syria dahulunya diktiraf sebagai pakatan pembangkang utama dan kini mungkin bakal diketepikan.

No comments:

Post a Comment