Wednesday, November 14, 2012

Palestin berjuang status negara pemerhati di PBB



Mahmoud Abbas berucap pada majlis memperingati ulang tahun kelapan kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat di bandar Ramallah, Tebing Barat, kelmarin. - REUTERS
RAMALLAH/WASHINGTON 12 Nov. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menegaskan pihaknya akan meneruskan usaha untuk mendapatkan status Palestin sebagai negara bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ketika menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semalam.
Pembantu Abbas, Nabil Abu Rdaineh berkata, pemimpin Palestin itu menerangkan usahanya itu dalam perbualan telefonnya dengan Obama, semalam.
''Abbas ketika menghubungi Obama bagi mengucapkan tahniah di atas pelantikan semula sebagai Presiden AS memberi alasan dan motif keputusan Palestin meneruskan usaha mendapat pengiktirafan sebagai negara bukan anggota di PBB ketika aktiviti penempatan haram Israel berterusan dan serangan ke atas rakyat Palestin dan harta benda mereka masih berlaku,'' katanya.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang disokong Barat pada minggu lepas mengedarkan satu draf resolusi kepada negara anggota PBB yang meminta status Palestin dinaik taraf kepada negara pemerhati bukan anggota PBB, walaupun menerima tentangan daripada AS dan Israel.
White House berkata, Obama pula mengulangi bantahannya terhadap usaha Palestin itu yang dikatakan bersifat sebelah pihak.
Palestin ketika ini hanya berstatus pemerhati di PBB dan cubaan untuk mendapatkan keanggotaan penuh di badan dunia itu pada tahun lepas gagal ekoran tentangan daripada AS di Majlis Keselamatan.
Usaha terbaharu ini adalah cara untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai negara bukan anggota di PBB, status sama yang kini dipegang Vatican City.
Resolusi terbaharu itu yang dilihat bakal dibentangkan pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada hujung bulan ini, dijangka diluluskan yang akan membolehkan Palestin mempunyai akses kepada pelbagai badan di bawah badan dunia itu termasuk di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague.
Keadaan itu dilihat boleh berlaku memandangkan kebanyakan daripada 193 negara anggota PBB merupakan penyokong Palestin. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121113/lu_04/Palestin-berjuang-status-negara-pemerhati-di-PBB#ixzz2CB6gZccb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment