Wednesday, November 14, 2012

Sukar salur bantuan kepada mangsa gempa



Beberapa orang kanak-kanak islam Rohingya menikmati makanan tengah hari di khemah pelarian di Bawdupha di pinggir bandar Sittwe, Rakhine pada 2 November lalu. - AFP
SINT KU, Myanmar 12 Nov. - Pasukan penyelamat Myanmar, hari ini bergelut untuk membawa bantuan ke kampung-kampung terpencil yang dilanda gempa bumi sekuat 6.8 pada skala Richter yang menggegarkan Mandalay, semalam.
Agensi bantuan berkata, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera dalam gempa yang turut mengakibatkan sebuah jambatan serta lombong runtuh.
Pihak berkuasa berkata, mereka telah menyediakan bantuan kepada mangsa termasuk kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal selepas lebih seratus buah rumah rosak.
Bagaimanapun, pasukan itu berdepan masalah komunikasi yang menyukarkan mereka menilai kawasan yang mengalami kerosakan, selain kesukaran untuk sampai ke kawasan pedalaman.
Penduduk kampung di penempatan utara Mandalay memberitahu AFP, mereka masih belum melihat kehadiran pasukan penyelamat ekoran gempa bumi itu yang turut mengakibatkan kerosakan kepada bangunan kerajaan dan tokong.
Katanya, kira-kira 40 buah bangunan di Kampung Khu Lel mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan serius dilaporkan dan penduduk telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara.
''Situasi ketika ini agak buruk. Tiada pasukan keselamatan telah sampai ke sini setakat ini,'' kata Ketua Kampung Khu Lel dekat bandar Sint Ku, Win Tint.
Pegawai Koordinator Kemanusiaan dan Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Ashok Nigam berkata, stok bantuan kemanusiaan bagi mangsa gempa adalah terhad, ekoran krisis kemanusiaan di negeri Rakhine di barat Myanmar berikutan keganasan agama yang mengakibatkan kira-kira 110,000 penduduk meninggalkan rumah mereka.
''Bergantung kepada tindak balas yang diperlukan, kita perlu membuat penilaian mengenainya. Namun, sudah tentu kita mempunyai keadaan kecemasan yang sangat serius di Rakhine dan bekalan agak berkurangan (untuk keperluan mangsa gempa),'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121113/lu_02/Sukar-salur-bantuan-kepada-mangsa-gempa#ixzz2CB6wvyDh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment