Tuesday, December 4, 2012

Negara Barat marah Israel

Berita Harian | Negara Barat marah Israel: "
"
London: Britain, Perancis dan Sweden semalam memanggil duta Israel untuk menyatakan bantahan ke atas keputusan Tel Aviv membina 3,000 lagi unit rumah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. 

Duta Israel ke Britain ialah Daniel Taub manakala rakan sejawatannya di Perancis ialah Yossi Gal yang diminta hadir ke Kementerian Luar bagi mendengar protes berkenaan. 

Russia, Amerika Syarikat dan Jerman turut menyatakan tentangan terhadap rancangan pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam isu berkenaan. 



Britain dan Perancis juga dilaporkan merancang untuk memanggil pulang duta masing-masing dari Israel. 

Britain menyifatkan langkah itu menimbulkan keraguan terhadap komitmen Israel mencapai perdamaian dengan Palestin. 

Kami mengecam keputusan terbaru kerajaan Israel membina 3,000 unit rumah baru dan menyambung pembinaan di E1. Ini mengancam pembentukan dua negara mengikut penyelesaian damai, kata Kementerian Luar Britain. 

Kali ini ia bukan sekadar hanya satu kecaman tetapi tindakan tegas terhadap Israel, kata seorang diplomat kanan Eropah kepada akhbar Haaretz. Akhbar itu juga memetik diplomat lain sebagai berkata: London marah dengan keputusan E1 itu. 

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon pula memberi amaran ia hampir memusnahkan usaha menggerakkan semula proses damai. 

Israel mengarahkan pembinaan perumahan baru itu sehari selepas Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menyokong status Palestin diubah di badan dunia itu. 

Bantahan diplomatik itu disuarakan kerana keputusan untuk membina perumahan itu membabitkan lokasi dipanggil E1. 

E1 adalah kawasan di Tebing Barat membabitkan kawasan timur Baitulmaqdis dan penempatan Yahudi, Maaleh Adumim. 

Rakyat Palestin menentang keras projek E1 kerana ia akan membahagikan kawasan Tebing Barat kepada dua bahagian di utara dan selatan selain memutuskan laluan masuk keluar dari Baitulmaqdis sekali gus merumitkan usaha membentuk negara Palestin yang tidak terpecah wilayahnya. 
AFP/Reuters 
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment