Tuesday, December 4, 2012

Ramai kanak-kanak disahkan pekak

myMetro | Ramai kanak-kanak disahkan pekak:

GAZA: Setakat ini, 45 kanak-kanak disahkan menjadi pekak dan berkemungkinan akan turut bisu apabila koklea telinga mereka rosak akibat bunyi kuat letupan bom Israel yang melakukan serangan berterusan ke atas bandar ini pada 14 hingga 22 November lalu.
Perkara itu dinyatakan Presiden Pertubuhan Emaar For Development and Rehabilitation Gaza, Dr Anwar Abdul Aziz yang kini bertungkus-lumus merawat dan memulihkan kanak-kanak Palestin di Gaza.

“Ramai kanak-kanak Gaza yang terselamat akibat serangan bom berangkai dan roket Israel kini menjadi pekak akibat bunyi letupan bom yang terlalu kuat.
“Ramai juga antara mereka mengalami situasi trauma teruk hingga menjejaskan emosi dan menyebabkan mereka tidak boleh bertutur.

“Menyedari masalah dialami kanak-kanak ini...saya dibantu 10 sukarelawan lain membuka pusat ini untuk memberikan rawatan terhadap mereka menggunakan peralatan moden dan kaedah psikologi,” katanya.

Persatuan NGO Gaza itu yang mendapat bantuan dana tetap dari Pertubuhan Muslim Care Malaysia turut menyediakan bilik terapi khas untuk mengenal pasti masalah pendengaran dihadapi mangsa sebelum rawatan diberikan.
“Kebanyakan mereka ini tidak mampu mendapatkan rawatan pakar kerana bayarannya mahal, jadi kami menawarkan rawatan percuma bagi memastikan mereka dapat dipulihkan,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Ummu Jannah, 38, memberitahu anak lelakinya, Bahrawi Mohamed, 6, mengalami masalah psikologi teruk hingga tidak boleh bercakap.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila anaknya itu yang menerima bantuan pusat itu kini sudah boleh bercakap serta berkomunikasi.

Seorang sukarelawan di pusat itu, Baker Elqa Hauji, 30, mendakwa tugas tanpa gaji itu dianggap satu jihad.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment