Kenderaan membawa pelarian Palestin dan Syria untuk menyeberangi sempadan Lubnan-Syria di Al-Masnaa.
Kenderaan membawa pelarian Palestin dan Syria untuk menyeberangi sempadan Lubnan-Syria di Al-Masnaa.
BEIRUT - Rusia menghantar kapal perangnya ke Mediterranean untuk bersiap sedia memindah rakyatnya dari Syria, jika konflik semakin meruncing.

Agensi media Rusia melaporkan, Moscow bertindak sehari selepas pemberontak berjaya merampas kem Yarmouk Palestin, sebuah zon bandar yang hanya 2 kilometer dari tengah bandar.

“Pembangkang Syria telah mendapat sokongan menyatakan beberapa langkah penting ketenteraan dan diplomatik sejak minggu lalau dan menawan beberapa kubu tentera di seluruh Syria serta mendapatkan pengiktirafan rasmi dari Barat dan Arab,” menurut laporan itu.

Menurut sumber di sempadan Lubnan, lebih daripada 1,000 pelarian Palestin yang tinggal di Syria telah memasuki Lubnan dalam tempoh 24 jam semalam, selepas pemberontak Syria mengambil alih kawalan di kem pelarian Palestin di Damsyik.

Timbalan Menteri Luar Syria Hossein Amir-Abdollahian berkata, tentera Syria dan jentera kerajaan meningkatkan kerjasama dan segalanya berjalan lancar.

“Kami mendapat bantuan dari Rusia untuk memindahkan penduduk dari kawasan bergolak,” katanya di Moscow kelmarin.

Di Damsyik, pemberontak Syria dilaporkan berjaya menangkis serangan tentera kerajaan di khemah pelarian Palestin di Yarmuk, selatan Damsyik.

Pertempuran itu memaksa beribu pelarian Palestin melarikan diri selepas askar kerajaan meneruskan serangan.

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) berkata, sekurang-kurangnya separuh daripada 112,000 pelarian Palestin sudah meninggalkan khemah berkenaan seluas 2.1 kilometer persegi dan menuju ke sempadan Lubnan. -Reuters