Sunday, January 13, 2013

Dua beg misteri diletupkan UPB



Kuala Lumpur: Dua beg misteri yang ditemui ditinggalkan di satu tiang lampu berhampiran KLCC dan hadapan bangunan Majlis Peguam di Leboh Pasar diletupkan Unit Pemusnah Bom (UPB) sebaik menerima laporan penemuan itu, pagi tadi.

Tindakan polis meletupkan kedua-dua beg itu menggemparkan peserta perhimpunan yang sudah mula berkumpul di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai penemuan beg itu memanggil UPB untuk menjalankan siasatan.

Katanya, beg berkenaan yang dikatakan berisi bom ditemui berhampiran KLCC dan hadapan bangunan Majlis Peguam kira-kira jam 8.30 pagi.


"Sebaik dimusnahkan, pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati kedua-dua beg itu kosong.


“Tiada sebarang bahan letupan ditemui sebaliknya ia hanya mengandungi kertas dan kotak kosong saja," katanya ketika sidang media di Balai Polis Tun H S Lee, di sini, hari ini.

Katanya, penemuan itu menunjukkan ada pihak tertentu yang cuba untuk memprovokasi perhimpunan berkenaan. Bagaimanapun, keadaan adalah terkawal.

No comments:

Post a Comment