Thursday, January 24, 2013

Husam dakwa Kelantan temui dua telaga minyak


Kota Bharu: Kerajaan PAS Kelantan semalam mendakwa menemui dua telaga minyak di daratan negeri ini membabitkan dua daerah iaitu di Kota Bharu dan Tumpat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata beliau dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai, bahawa Kelantan mempunyai rizab minyak yang besar di daratan termasuk di Kota Bharu dan Tumpat.
“Kerajaan negeri semalam (kelmarin) memutuskan untuk melantik sebuah syarikat mengkaji mengenai perkara berkenaan dan bila isu itu sudah disahkan kebenarannya nanti, Kelantan akan menjadi negeri terbesar mempunyai rizab minyak di daratan.

“Saya akan berunding dengan syarikat yang mempunyai kemahiran dalam perkara ini (mengkaji minyak) bagi mempercepatkan proses pengesahan penemuan minyak di daratan Kelantan,” katanya tanpa sokongan kajian geologi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim, di sini, semalam, yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Husam berkata, kerajaan negeri akan mengguna pakai semua kepakaran yang ada untuk mengusahakan sendiri minyak di daratan itu yang anggarannya lebih besar daripada rizab di lautan, tanpa mengambil kira kedudukan PETRONAS.

“Kerajaan negeri akan mengguna pakai apa juga undang-undang bagi membolehkan Kelantan menghasilkan minyak di daratan itu. Bila penemuan itu disahkan nanti, ia akan menjadi milik sepenuhnya kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat tidak mempunyai hak ke atasnya,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai isu Pengerusi DAP, Karpal Singh mendesak PAS seiring dengan pendirian pakatan pembangkang dalam isu kalimah Allah, Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, beliau menyerahkan kepada keputusan yang sudah dibuat Majlis Syura PAS, baru-baru ini.

“Keputusan mengenai isu ini sudah dinyatakan oleh Nik Aziz serta Presiden, Datuk Seri Hadi Awang dan saya tidak perlu campur dalam isu ini,” katanya

No comments:

Post a Comment