Tuesday, January 22, 2013

Ibu tunggu Masita pulang

Ibu tunggu Masita pulangMasita yang menghilangkan diri sejak Ogos tahun lalu dirayu pulang.
ENDAU – Kerinduan terhadap anak yang menghilangkan diri sejak Ogos tahun lalu terus meraja dalam diri.

Apatah lagi masih dihujani kesedihan akibat kematian suami, Hassan Yahya, 69, yang tertekan selepas kehilangan anak mereka.

Keadaan itu terus menyelubungi Yang Mah Yaacob, 60, yang bimbang keselamatan anak gadisnya, Masita Hassan, 18, yang tidak pulang selepas keluar dari rumah di Kampung Air Tawar, sejak hampir lima bulan.

Yang Mah yang rindukan Masita merayu agar anaknya itu pulang ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, Masita yang bekerja di sebuah kedai kek di bandar ini dilaporkan gagal datang kerja oleh majikannya pada hari kehilangannya.

“Masita dihantar arwah ayahnya ke tempat kerja di pekan Endau, namun ketika ingin menjemputnya kira-kira jam 7 petang, majikannya memberitahu dia tidak datang bekerja pada hari itu,” katanya.

Pada hari kejadian Masita mengenakan baju kurung berwarna putih biarpun mengakui rutin anaknya itu yang gemar memakai seluar jeans dan kemeja apabila bekerja.
“Saya tidak merasakan apa-apa, cuma pada hari itu dia tidak memakai baju yang biasa dipakainya ketika ke tempat kerja.

“Selepas pemeriksaan dibuat di rumah, banyak pakaiannya sudah tiada di dalam almari dan ini sangat menyedihkan kami,” katanya.

Yang Mah berkata, Masita ada menghubungi salah seorang daripada ahli keluarganya sebulan selepas kehilangannya dan memaklumkan dirinya selamat dan berharap keluarga tidak risau.

“Ketika ditanya, dia hanya menyatakan ingin bekerja selain cuba mengelak untuk menjawab soalan yang diajukan kepadanya,” katanya.

Bagi sesiapa yang mengenali dan mempunyai sebarang maklumat berkaitan Masita boleh menghubungi Yang Mah di talian 019-7836926 atau, di alamat Lorong 2, Kampung Air Tawar, Endau, Mersing.

No comments:

Post a Comment