Tuesday, January 22, 2013

Pasukan tentera Israel surai kumpulan tunjuk perasaan Palestin

BEIT IKSA, Wilayah Palestin 21 Jan. - Pasukan tentera Israel mengarahkan kumpulan penunjuk perasaan Palestin supaya meninggalkan lokasi demonstrasi yang didirikan dengan empat khemah dan sebuah struktur masjid di Tebing Barat, semalam.
Menurut jurucakap ketenteraan Israel, tiga daripada empat khemah dan struktur masjid itu didirikan di atas kawasan tanah yang dimiliki orang Yahudi, manakala khemah keempat pula diletakkan di laluan yang dirancang sebagai garisan pemisah kawasan antara kedua-dua negara itu.
Kumpulan aktivis Palestin mula berkumpul di tapak demonstrasi tersebut sejak Jumaat lalu bagi membantah hasrat Israel yang ingin merampas tanah penduduk kampung untuk tujuan penempatan haram Yahudi.
Israel, baru-baru ini mengumumkan akan merampas lebih 50 hektar tanah penduduk kampung berkenaan yang terletak di barat laut bandar Baitulmaqdis.
Kumpulan aktivis menamakan peluasan perkampungan itu sebagai Bab al-Karama atau 'Pintu Maruah'.
Kira-kira 100 penduduk kampung berserta kumpulan aktivis berada di tapak demonstrasi itu ketika tentera Israel mengeluarkan notis pemberitahuan mengenai peluasan tanah tersebut.
Bab al-Karama didirikan selepas sebuah lagi tapak perkhemahan yang didirikan di pinggir Baitulmadqis disita oleh tentera Israel pada minggu lalu.
Seorang daripada penganjur demonstrasi tersebut, Saeed Yaqin berkata, perkara pertama yang dilakukan mereka selepas mendapat notis tersebut adalah mengoyakkan dan membaling kertas itu ke arah muka tentera Israel.
"Tanah di kawasan ini masih dijajah dan undang-undang antarabangsa turut melarang kawasan ini 'disentuh' oleh mana-mana pihak," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130122/lu_09/Pasukan-tentera-Israel-surai-kumpulan-tunjuk-perasaan-Palestin#ixzz2IetsFmCY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment