Lagi karikatur Nabi diterbitkan
Pejabat Charlie Hebdo dilempar bom api selepas mereka menerbitkan karikatur Nabi Muhammad pada September lalu. Gambar kecil: Majalah Charlie Hebdo. Foto: AFP
PARIS - Majalah bercorak sindiran di Perancis sekali lagi bertindak biadab dengan memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW menerusi isu khas setebal 64 muka surat yang diterbitkan, kelmarin.

Editor Charlie Hebdo memaklumkan bahan majalah berjudul 'The Life of Muhammad' disediakan oleh ahli sosiologi Perancis-Tunisia itu telah melalui proses kajian yang betul.

Menurutnya, majalah berbentuk biografi tersebut kononnya tidak mungkin akan mencetuskan kemarahan mana-mana pihak kerana ia telah disunting oleh orang Islam.

Dalam satu kenyataan pada Isnin lalu, Ibrahim Kalin, penasihat kanan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengutuk edisi khas itu dan menganggap ia sengaja mahu mencetuskan provokasi.

Menerusi akaun Twitter miliknya, beliau turut menegaskan tindakan sengaja memaparkan gaya hidup Rasulullah dalam bentuk karikatur sebenarnya sudah menunjukkan satu kesalahan besar.

"Ia sememangnya satu provokasi melampau!' katanya lagi.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Perancis, Najat Vallaud-Belkacem juga memberi amaran kepada Charlie Hebdo supaya jangan mencurah minyak ke dalam api berikutan tindakan mereka yang tidak langsung menitikberatkan aspek sensitiviti.

September lalu, majalah tersebut juga sengaja menerbitkan karikatur Rasulullah semasa protes ganas membantah filem anti-Islam Innocence of Muslims di kebanyakan negara.

Pada 2011, pejabat Charlie Hebdo pernah dibaling bom api dan laman sesawangnya digodam selepas menerbitkan edisi berjudul Charia Hebdo memaparkan beberapa imej karikatur Nabi Muhammd SAW. - Al-Jazeera