Saturday, January 5, 2013

Ramai wanita India minat belajar cara mempertahankan diri




AFP
SEORANG wanita mengikuti kelas mempertahankan diri di New Delhi pada Rabu lalu.


NEW DELHI - Lebih ramai wanita di India mula menunjukkan minat untuk menghadiri kelas yang mengajar cara untuk mempertahankan diri bagi mengelak mereka menjadi mangsa rogol dan keganasan kaum lelaki.
Jumlah itu meningkat selepas hampir tiga minggu kejadian seorang pelajar wanita berusia 23 tahun dirogol oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah bas di sini.
Pelajar wanita itu kemudian mati di sebuah hospital di Singapura pada minggu lalu kerana kecederaan dalaman yang teruk selepas dia turut dipukul dengan batang besi.
Pada Khamis lalu, lima lelaki berumur 19 hingga 35 tahun didakwa secara rasmi kerana melakukan pembunuhan dan merogol pelajar wanita tersebut.
Seorang pengajar seni mempertahankan diri, Amuj Sharma berkata, dia dihujani dengan panggilan telefon daripada kaum Hawa yang berminat minat untuk mengikuti kelas yang ditawarkan di Institut Invictus Survival Science di selatan Delhi.
"Terdapat peningkatan permintaan untuk belajar tentang cara dan nasihat untuk mempertahankan diri dan latihan perlindungan peribadi," katanya.
Sharma mengajar pelajar-pelajarnya cara untuk menumbuk, menendang dan membebaskan diri ketika ditangkap oleh para penyerang.
Sebuah akhbar dalam minggu ini turut melaporkan, terdapat beberapa wanita yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen senjata api selepas kejadian rogol itu berlaku.
Sementara itu, seorang pemilik kedai di sini memberitahu, jualan alat penyembur lada turut meningkat.
"Kami hanya dapat menjual beberapa botol dalam tempoh sebulan. Bagaimanapun, kini lebih ramai wanita telah datang ke kedai saya untuk membeli penyembur tersebut," kata pemilik kedai itu, Jai Shankar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2H3QGjShi 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment