Friday, February 8, 2013

55 orang maut di Damsyik




BEBERAPA anggota penentang yang merupakan askar-askar Tentera Pembebasan Syria berada di sebuah lokasi pertempuran di Jobar, Damsyik kelmarin.


DAMSYIK - Kedudukan kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad di sekitar ibu kota Syria di sini digegarkan dengan pertempuran sengit dan bedilan meriam untuk hari kedua berturut-turut semalam ketika pihak tentera melancarkan serangan besar-besaran yang dilaporkan telah meragut 55 nyawa dalam tempoh 24 jam.
Antara yang terbunuh ialah lima orang awam termasuk tiga wanita.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, semua mangsa maut terkena peluru mortar di kem pelarian Palestin di Yarmuk yang terletak di pinggir bandar raya ini.
Menurut kumpulan itu, sekurang-kurangnya 19 orang awam, 28 penentang dan lapan askar terbunuh sejak serangan tersebut dilancarkan awal semalam.
Serangan tentera rejim Bashar itu ditumpukan di bahagian selatan dan pinggir bandar raya ini.
Kawasan tersebut merupakan kubu kuat penentang rejim Bashar.
Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan tentera Syria berlaku pada Mac 2011.
Para penentang itu mahu Bashar digulingkan kerana kegagalannya membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara selepas kebangkitan penduduk berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2KG7VAXZn 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment