Friday, February 8, 2013

PATI jadi warganegara, apa tindakan BN selepas ini?



KOTA KINABALU, 4 FEB: Bukan lagi rahsia apabila semakin ramai warga asing didapati memperoleh kerakyatan dengan mudah untuk menjadi pengundi Barisan Naisonal (BN).

Persoalannya adakah BN akan membersihkan daftar pemilih dengan segera atau membiarkan “warganegara ekspress” itu terus menentukan nasib rakyat Malaysia?

Bagi Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu, perkara serius itu sekaligus mengancam demokrasi negara ini kerana daftar pemilih adalah kunci bagi sistem demokrasi di Malaysia.

“Tanpa daftar pemilih yang bersih, tidak akan ada demokrasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan senarai daftar pemilih sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) demi keadilan kepada rakyat sendiri.

Merujuk kepada Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, mereka yang mahu memohon kerakyatan Malaysia perlu menjadi penduduk tetap negara ini lebih daripada 12 tahun dan berada di Malaysia lebih daripada 10 tahun.

Tetapi apa yang didedahkan pada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendatang asing di Sabah telah memecah tembelang UMNO-BN apabila ‘Projek IC’ yang berlaku sekitar tahun 1990-an itu bertujuan mengekalkan kuasa mereka.

“Kita dapat lihat ramai di kalangan mereka (pendatang asing) mengaku mendapat kerakyatan daripada kerajaan BN.

“Sekarang, apa yang BN akan lakukan untuk membersihkan penipuan mereka? Adakah mereka akan mengadakan pilihan raya sebelum semua daftar pemilih dibersihkan?,” soalnya – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment