Sunday, February 17, 2013

Wang untuk Psy lebih baik bagi kepada OKU

Mohammad Faizal Che Yusof,
Sebagai mewakili suara OKU yang dianggarkan 15 peratus daripada rakyat Malaysia, kami amat merasa terkilan dan kesal terhadap pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri dalam menyambut perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Dalam suatu petunjukan yang melibatkan seorang penyanyi terkenal, Park Jae Sang (Psy) sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina di Kolej Han Jiang, kami difahamkan sejumlah RM2 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia di bawah teraju Umno dan Barisan Nasional.

Walaupun kerajaan menafikan kos tersebut ditanggung olehnya, tetapi jumlah wang yang sebegitu banyak hanya untuk hiburan yang memakan masa beberapa minit bukanlah tindakan yang betul.

Apakah YAB Perndana Menteri yang juga memegang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat “KPWKM” sedar betapa jumlah perbelanjaan yang besar itu amat bermakna kepada pembangunan OKU di Negara ini?

Dengan perbelanjaan sebesar itu, alangkah baiknya ianya diserahkan kepada NGO-NGO yang berasaskan perkhidmatan kepada OKU. Pelbagai program bagi menggerakkan pelbagai aktiviti ke arah peningkatan potensi OKU dan kesedaran masyarakat kepada keperluan OKU boleh dilakukan.

Atas dasar pelbagai kepincangan yang berlaku inilah, kami tampil bersama kebangkitan rakyat bagi memastikan agenda pembangunan OKU berada pada tempat yang sewajarnya.

Kami penuh yakin ruang yang diberikan dalam Pakatan Rakyat umumnya dan PAS khususnya cukup untuk kami menyuarakan betapa pembangunan OKU di Malaysia selama ini perlu diperbetulkan agar ketempangan yang ada mampu dipulihkan.

Sikap kerajaan di bawah pimpinan umno hari ini jelas menunjukkan kerajaan tidak memberi fokus yang cukup untuk diberikan pembangunan yang menyeluruh kepada OKU. Hanya melalui perubahan politik sahajalah pembaikan mampu dilaksanakan.

Kami juga penyuh yakin hanya melalui perubahan kuasa politik sahajalah penstrukturan semula KPWKM dapat dilakukan bagi mewujudkan Kementerian Pembangunan OKU dan Kesejahteraan Masyarakat bagi memastikan OKU terbela pada masa hadapan.

Kami akan terus berusaha sedaya mungkin untuk menyuarakan hak-hak OKU dan marilah sama-sama kita berdoa agar perubahan kuasa politik mampu dilakukan agar Malaysia baru dapat dihasilkan sebaik PRU13 kelak. 

No comments:

Post a Comment