Friday, March 22, 2013

10 maut rusuhan agama



Seorang penduduk Islam berjalan melepasi sebuah masjid yang ranap dalam rusuhan antara penduduk Islam dan Buddha di Meiktila, tengah Myanmar, semalam. - AFP
YANGON 21 Mac - Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan tiga buah masjid musnah selepas tercetusnya rusuhan di bandar Meiktila, tengah Myanmar, semalam.
Seorang ahli parti pembangkang Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), Win Htein memberitahu AFP beliau melihat sendiri mayat-mayat bergelimpangan di tempat kejadian.
Penduduk tempatan turut melaporkan melihat lebih 10 mayat di bandar itu selepas rusuhan berlaku.
Menurut kenyataan di laman Facebook Pasukan Polis Myanmar hari ini kira-kira 200 orang terlibat dalam rusuhan di bandar yang terletak kira-kira 450 kilometer ke utara Yangon itu, semalam.
Pergaduhan itu dipercayai tercetus apabila sepasang kekasih Buddha cuba menjual pin rambut emas di sebuah kedai emas milik penganut Islam yang kemudiannya didakwa merosakkan pin itu ketika proses jual beli sedang dilakukan.
Laporan awal di laman Facebook polis lewat semalam menyatakan bahawa pergaduhan itu merebak selepas seorang lelaki cedera dalam pergaduhan di kedai emas itu.
"Sekumpulan perusuh kemudiannya menyerang kawasan itu dan memusnahkan beberapa bangunan," tambah laporan itu
Polis turut menguatkuasakan perintah berkurung dari petang semalam hingga awal pagi ini bagi mengawal keadaan.
Sementara itu, seorang pegawai polis tempatan memberitahu AFP bahawa orang ramai cuba membakar sebuah masjid.
Ketegangan itu tercetus ketika Myanmar masih bergelut menyelesaikan masalah antara penduduk Islam dan Buddha di Myanmar selepas konflik etnik di negeri Rakhine, menyebabkan sekurang-kurangnya 180 orang cedera dan lebih 110,000 menjadi pelarian sejak Jun 2012. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130322/lu_03/10-maut-rusuhan-agama#ixzz2OEuAkWOc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment