Misi pengaman Mali perlukan 11,200 askar
Ki-Moon (tengah) bersama wakil menteri Peru, Argentina, Cuba dan Uruguay selepas mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di Ibu Pejabat PBB di New York.
NEW YORK -  Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan, lebih 11,200 tentera diperlukan untuk misi pengaman di Mali manakala pasukan tentera yang sama juga diperlukan untuk berdepan dengan pengganas radikal.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon berkata, jumlah itu diperlukan untuk mengawal bandar-bandar utama yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.

Dalam laporan Majlis Keselamatan PBB mengenai keadaan di Mali, beliau berpendapat, terdapat keperluan asas untuk pasukan tambahan di Mali dan negara-negara jiran dan jelas Perancis perlu mengekalkan pembabitan tenteranya di wilayah konflik.

“Walaupun kumpulan pelampau telah diusir dari bandar itu tetapi mereka masih merupakan ancaman besar kepada keselamatan awam dan negara jiran,” katanya.

Menurutnya, selain untuk memerangi keganasan Misi Sokongan Afrika Antarabangsa ke Mali (Afisma) turut berperanan untuk mengukuhkan misi politik PBB.

“Kami akan bekerjasama dengan Kesatuan Afrika untuk meningkatkan keupayaan operasi di Afrika,” katanya dalam laporan Reuters.