SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya telah membuang kerja Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang popular dengan blog Papa Gomo, awal September lalu dan sudah tidak layak menjadi pengundi pos.

Sehubungan itu, PDRM dalam kenyaatan dikeluarkan semalam menyebut bahawa dia bukan lagi seorang pengundi pos polis.

Dalam kenyataan itu, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene berkata, Wan Muhammad pernah berkhidmat sebagai anggota polis berpangkat konstabel di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya mulai 1 Julai 2002 hingga 30 November 2004 apabila ditangkap atas kesalahan jenayah.

"Pada 31 Oktober 2005, anggota ini telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang Jaya di atas kesalahan jenayah. Proses perbicaraan mahkamah dan rayuan telah dibuat sejak dari tarikh tersebut.

"Pada 6 September 2012, anggota ini telah disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman. Seterusnya prosiding tatatertib PDRM terhadapnya telah dibuat dan anggota ini telah dibuang kerja berkuat kuasa 6 September 2012," kata beliau.

Sehubungan itu, Mortadza berkata, Wan Muhammad tidak lagi tersenarai dalam rekod PDRM sebagai "pengundi polis."

"Perkara ini juga telah dijelaskan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa rekod pendaftaran anggota ini sebagai pengundi pos telah dipadamkan, seperti kenyataan SPR pada 23 Mac 2013," katanya lagi.

Tambah beliau, "oleh yang demikian, isu pendaftaran sebagai seorang anggota polis untuk undi pos dan pada masa yang sama sebagai pengundi awam oleh anggota ini adalah tidak timbul."

"Ini sekali gus menyangkal dakwaan mana-mana pihak bahawa perkara ini dibuat untuk mewujudkan senarai pengundi di dua tempat yang berbeza," kata beliau lagi.

Isu pendaftaran pengundi dua kali membabitkan individu ini diketengahkan oleh PKR baru-baru ini.

Sabtu lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, pihaknya sedang menunggu siasatan polis dan akan memastikan tidak wujud pendaftaran pengundi dua kali.