Tuesday, March 5, 2013

Politik UMNO


Pesara polis berdemonstrasi


SEBAHAGIAN daripada pesara polis mengadakan bantahan secara aman menyokong tindakan kerajaan dan mengecam Tian Chua di Tugu Negara, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 300 pesara polis mengadakan demonstrasi aman di Tugu Negara di sini semalam bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan menangani pencerobohan pengganas bersenjata di Sabah selain menyelar kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua.
Demonstrasi itu diketuai bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad dan turut disertai pesara komando polis VAT 69, pesara Skuad 69 Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bekas Polis Malaysia, pesara Cawangan Khas, pesara Pasukan Polis Hutan, Yayasan Pengaman Malaysia dan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia.
Demonstrasi sejam itu turut disertai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, dua bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Najib Abdul Aziz dan Tan Sri Husin Ismail, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Mohd. Zaman Khan serta bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Khoo Ah See.
Peserta demonstrasi membawa sepanduk mengutuk tindakan Ahli Parlimen Batu itu dan mendesak beliau meminta maaf kerana mengeluarkan kenyataan pada Jumaat bahawa pencerobohan di Lahad Datu sandiwara UMNO untuk mengalih perhatian dan menakutkan rakyat.
Lapan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas bersenjata Sultan Sulu dari Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna pada 1 dan 2 Mac lalu.
Shamsuri berkata, Tian Chua tidak boleh menyatakan kematian anggota keselamatan itu adalah sandiwara kerajaan.
"Dia (Tian Chua) tidak boleh mempermainkan kematian dengan menyatakan ia adalah drama kerana ini hanya menambah kesedihan keluarga anggota polis berkenaan.
"Nyawa tidak boleh diganti dengan wang ringgit dan ia pengorbanan terbesar sebagai perwira negara," katanya.
Tegasnya, warga pesara polis sentiasa menyokong dan yakin dengan tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dalam usaha menangani pencerobohan di Sabah.
Shamsuri turut menyelar kenyataan di akaun laman sosial Facebook di bawah nama "Jonathan Lin" yang menyamakan dua anggota polis yang terkorban di Lahad Datu itu sebagai anjing UMNO. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2McUnUImN 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment