Friday, April 5, 2013

AS tingkatkan pertahanan di Guam

AS tingkatkan pertahanan di GuamAskar AS bersedia dengan pakaian khas bagi persediaan serangan senjata nuklear Korea Utara di Guam.
SEOUL - Amerika Syarikat (AS) mengukuhkan pertahanan dengan menghantar peluru berpandu ke  pangkalan tentera di Pasifik, termasuk Guam.

Dipetik AFP, Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel berkata, penghantaran peluru berpandu itu sebagai persediaan ancaman Pyongyang yang mengundang bahaya terhadap AS dan sekutunya, Korea Selatan dan Jepun.

“Sekarang mereka mempunyai kapasiti nuklear dan peluru berpandu. Kami mengambil serius ancaman ini,” katanya.

Menurutnya, Pentagon menghantar peluru berpandu pemintas THAAD untuk melindungi pangkalan tentera di Guam, sebuah wilayah AS terletak kira-kira 3,380 kilometer di tenggara Korea Utara yang juga menempatkan 6,000 rumah kakitangan AS.

Sejurus pengumuman itu, jurucakap tentera Korea Utara berkata, mereka mendapat kelulusan akhir melancarkan serangan ketenteraan ke atas AS dengan menggunakan senjata nuklear.

“Kami akan balas dengan pelbagai jenis serangan nuklear sebagai bertindak balas provokatif AS selepas menggunakan pesawat pengebom B-52 dan B-2 stealth ketika latihan dengan Seoul,” katanya.

Menurutnya, Korea Utara hanya akan menggunakan peluru berpandu jarak sederhana kerana serangan itu mampu menghancurkan sasaran di Korea Selatan dan pantai timur Jepun .

Sementara itu, pegawai tentera Korea Selatan berkata, pihaknya sedang memantau ancaman Pyongyang sama ada untuk melakukan serangan sebenar atau hanya mahu menunjukkan kekerasan terhadap AS.

No comments:

Post a Comment