Sunday, April 14, 2013

Guna rahim orang mati



Istanbul: Wanita pertama pernah menerima rahim daripada seorang penderma yang sudah mati disahkan hamil dua minggu selepas menjalani pemindahan embrio.

Kehamilan Derya Sert, 22, disahkan selepas keputusan awal hasil satu pemeriksaan berikutan proses persenyawaan di luar rahim di Hospital Universiti Akdeniz, Antalya, wilayah selatan Turki.


“Derya sihat ketika ini,” kata Mustfa Unal, doktor yang merawatnya, dalam satu kenyataan bertulis.

Derya disifatkan sebagai ‘keajaiban dalam bidang perubatan’ apabila menjadi wanita pertama di dunia berjaya menjalani pemindahan rahim daripada seorang penderma yang sudah meninggal dunia pada 2011 di hospital sama.


Berita mengenai kehamilannya memberi harapan kepada ribuan wanita di seluruh dunia yang gagal hamil.


Derya dilahir tanpa rahim, seperti seorang daripada setiap 5,000 wanita di seluruh dunia.

Doktor menanti selama 18 bulan sebelum menjalankan pemindahan embrio untuk memastikan organ asing itu masih berfungsi.


Derya adalah wanita kedua menjalani pemindahan rahim di dunia. Yang pertama dilakukan di Arab Saudi pada 2000 apabila seorang wanita menerima rahim daripada penderma yang masih hidup.

Bagaimanapun, pemindahan itu gagal selepas 99 hari dan doktor terpaksa membuang semula organ itu.


Sementara itu, Derya dijangka melahirkan anak menerusi pembedahan dan rahim itu terpaksa dibuang selepas kelahiran itu bagi mengelak kerumitan dan kemungkinan tidak sesuai lagi.


Derya dikatakan mula datang haid selepas menjalani pemindahan itu dan doktor yakin ia isyarat penting bahawa organ itu berfungsi.


Pakar bagaimanapun memberi amaran, Derya dan kandungannya berdepan dengan pelbagai cabaran kesihatan sepanjang kehamilannya, termasuk kecacatan pada bayi kerana Derya makan terlalu banyak ubat. - AFP

No comments:

Post a Comment