Tuesday, April 30, 2013

Kementerian Libya dikepung



Beberapa buah kenderaan dilengkapi senjata berada di luar bangunan Kementerian Luar Libya di Tripoli, kelmarin. - AFP
TRIPOLI 29 April - Berpuluh-puluh anggota kumpulan bersenjata mengepung pejabat Kementerian Luar Libya, di sini semalam bagi menuntut 'pembersihan ejen' bekas pemimpin Muammar Gaddafi.
Perdana Menteri Ali Zeidan berkata, pejabat Kementerian Dalam Negeri turut menjadi sasaran serangan oleh kumpulan bersenjata itu serta ibu pejabat televisyen milik kerajaan.
Katanya, kumpulan bersenjata itu turut menghalang kakitangan Kementerian Luar memasuki bangunan tersebut yang terletak di Tripoli.
Menurut koresponden, kira-kira 30 kenderaan dengan sesetengah daripadanya lengkap dengan senjata anti-pesawat dan berpuluh-puluh anggota, dilihat mengepung pejabat itu.
Seorang pegawai yang enggan dikenali mengakui, kumpulan itu menuntut supaya pegawai-pegawai Gaddafi yang masih bekerja di kementerian itu diberhentikan.
Namun, pegawai itu berkata, insiden tersebut tidak 'melumpuhkan operasi kementerian itu', sebaliknya mereka mengecam kelakuan kumpulan tersebut yang disifatkan sebagai 'sangat melampau'.
Menurut kumpulan bersenjata itu, mereka mahu Kementerian Luar 'bersih daripada ejen-ejen' Gaddafi dan bertegas akan terus memberontak sehinggalah tuntutan mereka ditunaikan.
Mereka turut memberi amaran akan memperluaskan tindakan mereka itu ke kementerian lain.
Kerajaan Libya masih bergelut untuk memperkuatkan pengaruhnya di seluruh negara ekoran bekas pemberontak yang membantu menggulingkan Gaddafi pada 2011 masih menguasai kebanyakan wilayah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130430/lu_05/Kementerian-Libya-dikepung#ixzz2RtmfvExN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment