Tuesday, April 30, 2013

Susilo rancang naikkan harga minyak



Sekumpulan pelajar membakar tayar tanda protes kepada rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak di Makassar, Sulawesi Selatan, semalam. - REUTERS
JAKARTA 30 April - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, hari ini membayangkan kerajaan merancang untuk menaikkan harga minyak menjelang Mei ini, bagi mengurangkan subsidi minyak, yang menjadi risiko utama kepada ekonomi republik ini.
Susilo memberi isyarat paling jelas tentang perkara itu, namun memberi amaran tindakan itu hanya akan diambil selepas Parlimen meluluskan pampasan kepada mereka yang mengalami kesan dengan kenaikan harga komoditi itu.
Beliau, bagaimanapun tidak menghuraikan dengan lebih lanjut tentang kenaikan harga minyak yang pertama dalam tempoh lima tahun seperti dijangkakan, ketika Parti Demokratik pimpinannya mengambil tindakan berjaga-jaga selepas skandal penyelewengan yang menjejaskan populariti parti itu menjelang pilihan raya umum pada 2014.
''Subsidi minyak merupakan perkara yang tidak sihat dan memberi risiko kepada ekonomi,
''Subsidi perlu dikurangkan dengan menaikkan harga minyak secara berperingkat-peringkat,'' katanya tentang pemberian subsidi yang menyebabkan defisit negara semakin meningkat.
Beliau berkata demikian kepada pemimpin tempatan dari seluruh Indonesia di Jakarta bahawa kerajaan akan menaikkan harga minyak sebaik-baik Parlimen meluluskan bajet negara yang dikaji semula pada Mei ini.
Bajet itu turut merangkumi bayaran pampasan kepada mereka yang mengalami kesan kepada kenaikan harga minyak dengan pendekatan seperti menyediakan subsidi beras dan biasiswa pendidikan.
Subsidi minyak menjadi isu penting di Indonesia sejak kebelakangan ini dan beberapa cubaan untuk menaikkan harga minyak gagal ekoran bantahan di seluruh negara.
Ketika ini harga petrol di Indonesia adalah 4,469 rupiah (RM1.43) seliter. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130501/lu_02/Susilo-rancang-naikkan-harga-minyak#ixzz2S5OXK6Jc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment