Mohammed Mursi
Mohammed Mursi
KAHERAH - Presiden Mesir, Mohammed Mursi, kelmarin mengumumkan untuk merombak Kabinet melibatkan beberapa kementerian penting di negara itu.

Dipetik Al Jazeerah, Mursi menegaskan penyusunan semula kerajaan tidak akan berakhir kerana ia adalah cara untuk mencapai kepentingan awam bagi mengelakkan kebangkitan revolusi.

Difahamkan, ia adalah rombakan kedua yang dilakukan oleh beliau sejak memegang jawatan sebagai presiden, Julai lalu.

Beliau turut berulang kali menyatakan keyakinannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Hisham Qandil walaupun pihak pembangkang menuntut pemecatan pemimpin tersebut.

Sementara itu, jurucakap presiden memaklumkan, gabenor wilayah akan turut terlibat dalam perubahan tersebut.

Selain itu, Mursi juga menyatakan sokongan beliau terhadap kebebasan media di negara itu.

Menurutnya, puluhan stesen TV dan agensi akhbar di Mesir telah diberikan lesen operasi selain menguatkuasakan undang-undang melarang petugas media dipenjarakan secara melulu sebelum diputuskan oleh mahkamah.