Tuesday, April 23, 2013

Papa Gomo mohon masa fail pernyataan pembelaan



KUALA LUMPUR 22 April - Pemilik laman blog, Papa Gomo yang didakwa menyiarkan perkataan dan imej berunsur fitnah mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam video seks sejenis dengan seorang lelaki, memohon masa yang panjang untuk memfailkan pembelaan dalam kes saman Ketua Pembangkang itu terhadapnya.
Peguam Mohd. Afiq Mohd. Noor yang mewakili Anwar memberitahu pemberita, pihaknya telah menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu pada 18 April lalu kepada firma guaman, Tetuan Jasbeer Nur & Lee iaitu peguam cara kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Bagaimanapun menurut Mohd. Afiq, mereka memaklumkan Wan Muhammad Azri mahu melantik peguam cara lain mewakilinya.
Selain itu, Mohd. Afiq berkata, mereka memohon masa yang panjang untuk memfailkan pembelaan memandangkan Wan Muhammad Azri terlibat dalam Unit Media Baharu bagi pilihan raya umum.
Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong sehubungan itu menetapkan 21 Mei depan bagi pengurusan kes tersebut.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa Wan Muhammad Azri, 30, secara nyata atau tersirat menyatakan individu di dalam imej-imej dalam artikel yang disiarkan dalam laman web www.papagomo.com di internet adalah beliau (Anwar).
Anwar, 66, selaku plaintif menyatakan, defendan secara salah dan berniat jahat menyiarkan perkataan-perkataan serta siri imej berhubung video tersebut dalam laman blog tersebut secara berturut-turut dari 16 Mac hingga 20 Mac lalu.
Plaintif mendakwa, perkataan-perkataan berkenaan dimaksudkan sebagai merujuk kepadanya dan bermakna beliau seorang tidak bermoral dan tidak bermaruah, tidak layak menjadi pemimpin politik, pemimpin yang tidak bertanggungjawab serta tidak boleh dipercayai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130423/ma_02/Papa-Gomo-mohon-masa-fail-pernyataan-pembelaan#ixzz2REuTztzX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment