Nik Aziz
Nik Aziz menyampaikan sumbangan armalah kepada salah seorang penerima di Kompleks Purnama semalam.
KOTA BHARU- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan ahlinya, sama ada yang disenaraikan dan tidak tersenarai, menerima keputusan yang dibuat pimpinan parti bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Nik Aziz berkata, keputusan dibuat berdasarkan perbincangan, maka nama-nama calon tersenarai dipilih berdasarkan sifat kepimpinan dan pelbagai sudut yang dikenal pasti.

“Jadi ambo (saya) harap keputusan yang dibuat perlulah diterima dengan sebaiknya.

“Jangan timbul cakap-cakap belakang kerana bila keputusan sudah ditetapkan wajib terima, sama ada setuju atau sebaliknya,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kepada armalah dan anak yatim di kompleks Purnama, Pengkalan
Chepa, semalam.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada lebih 100 armalah dan anak yatim yang menerima bantuan di sekitar Pengkalan Chepa di sini.

Nik Aziz turut menyarankan agar rakyat dapat membuat pilihan yang tepat untuk menentukan pimpinan yang bakal mentadbir kerajaan di negeri ini.

“Kita (Pas) laksanakan segala undang-undang dan pentadbiran di Kelantan mengikut lunas dalam ajaran Islam.

“Berbanding Umno yang menjalankan dasar pentadbiran mereka mengikut orang barat. Jadi sebagai umat Islam adakah kita ingin mengamalkan mengikut pentadbiran seumpama itu sedangkan kita boleh melaksanakan kerajaan berdasarkan ajaran Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Aziz turut mengumumkan hari pengundian PRU13 pada 5 Mei ini sebagai cuti peristiwa untuk negeri ini.

Pengisytiharan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan dan pandangan daripada semua ahli mesyuarat kerajaan negeri yang bersidang kelmarin.

“Tujuan utama cuti ini untuk rakyat Kelantan keluar mengundi dengan tenang, semuanya boleh keluar mengundi, kita undi untuk membentuk kerajaan Islam,” katanya.

Beliau mengharapkan agar rakyat Kelantan menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk keluar mengundi dan memilih kerajaan yang menuju ke arah kebaikan dunia dan akhirat.