Sunday, May 12, 2013

Hartawan tunai janji kalah pertaruhan kepada Tony Fernandes



MELBOURNE: Hartawan penerbangan, Sir Richard Branson akan mendarat di Kuala Lumpur tengah hari ini dengan memakai mekap, berkasut tumit tinggi dan sarung kaki untuk menunaikan janji selepas kalah pertaruhan kepada Ketua Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes pada Grand Prix dua tahun lalu.

Beliau berlepas dari Perth pagi ini dengan penerbangan amal untuk mengumpul dana ke Kuala Lumpur, dengan berpakaian wanita.
The Australian Associated Press melaporkan di sebuah bar di Perth CBD pada Sabtu malam, Branson membenarkan pramugari AirAsia mencukur bulu kakinya.

Terdapat alasan kukuh kenapa beliau mengambil masa yang lama untuk menunaikan janjinya itu - kakinya patah, terbabit dalam kemalangan semasa naik belon udara panas untuk menyaksikan prototaip Virgin Galactic, yang akan melakukan penerbangan komersil ke angkasa.

"Ya, memang betul. Kami sama-sama memiliki pasukan Grand Prix dan saya amat yakin yang saya akan menang," kata Branson sepertimana dipetik oleh AAP,

"Berlaku kesilapan. Sudah tentu pemandu pada perlumbaan itu tidak lagi bersama-sama kami. Saya berusaha untuk mengelak berada di sini (dalam penerbangan amal ini), tetapi tahu perlu tunaikannya."

Sementara itu, Fernandes yang dicabar untuk menunaikan janjinya, mengumumkan akan menjadi seorang daripada pelancong angkasa dalam penerbangan komersil pertama Virgin Galactic, adalah penerbangan yang amat mahal.
"Apa yang beliau (Branson) tidak sedar ialah sebaik sahaja saya pergi ke angkasa, akan ada versi tambang murah - AirAsia Galactica, kira-kira 10 peratus daripada harga yang beliau kenakan," katanya.

Dana daripada penerbangan amal itu akan disalurkan kepada Starlight Foundation untuk kanak-kanak sakit.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment