Friday, June 14, 2013

Himpunan 505 tetap diteruskan

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

SHAH ALAM - Himpunan Blackout 505 tetap diteruskan meskipun Ahli Parlimen pakatan pembangkang akan mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, 24 Jun ini.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, himpunan tersebut tidak akan dibatalkan dan tiada kaitan dengan proses mengangkat sumpah kerana agenda utama himpunan tersebut adalah isu-isu berkaitan penyelewengan yang berlaku sewaktu PRU13.

"Saya yakin, isu-isu seperti dakwat kekal yang tidak kekal, penipuan, akses media dan banyak lagi akan terus diangkat dalam siri himpunan ini.

"Ahli Parlimen akan menjalankan tugas yang diamanahkan seperti biasa. Begitu juga himpunan akan berjalan seperti dirancang," katanya.

Katanya, lokasi himpunan masih sama dan tiada pertukaran lokasi setakat ini.

"Saya pasti, himpunan di Padang Merbok akan mendapat kehadiran yang di luar jangkaan dan percaya himpunan kali ini akan dihadiri lebih ramai berbanding sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menyifatkan himpunan tersebut tidak mengganggu proses angkat sumpah Ahli Parlimen.

"Selain itu, ia lebih ke arah menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia ada meletak jawatan. Kita akan terus memberitahu rakyat bahawa PRU13 dicemari dengan pelbagai penipuan," katanya.

No comments:

Post a Comment