Friday, June 14, 2013

Polis Turki berjaya kawal Dataran Taksim


Penunjuk perasaan bertempiaran menyelamatkan diri selepas pasukan polis antirusuhan Turki melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata di Dataran Taksim bagi menyuraikan tunjuk perasaan di dataran itu, kelmarin. - AFP
ISTANBUL 12 Jun - Pasukan polis antirusuhan Turki berjaya mengawal sepenuhnya Dataran Taksim, hari ini selepas semalaman bertempur dengan kumpulan penunjuk perasaan yang menguasai kawasan berkenaan selama hampir dua minggu.
Menjelang subuh, Dataran Taksim yang dipenuhi serpihan penghadang jalan, kelihatan lapang dan beberapa buah teksi mula melalui kawasan itu buat kali pertama sejak bantahan terhadap Perdana Menteri Tayyip Erdogan tercetus hampir dua minggu lalu.
Namun, beratus-ratus penunjuk perasaan masih berkhemah di Taman Gezi berhampiran dataran terbabit.
Pertempuran yang berlaku malam semalam merupakan yang terburuk sejak demonstrasi itu bermula.
Pasukan polis antirusuhan melepaskan gas pemedih mata ke arah beribu-ribu penunjuk perasaan yang berkumpul di Dataran Taksim, termasuk sekumpulan orang berpakaian pejabat yang turut menyertai tunjuk perasaan selepas waktu kerja dan beberapa keluarga yang membawa anak masing-masing.
Kumpulan demonstrasi berkenaan berpecah ke jalan-jalan kecil di sekitar dataran, namun sekumpulan penunjuk perasaan tegar kembali dekat kawasan itu untuk membakar unggun api dan membaling batu ke arah kenderaan meriam air polis.
Situasi itu memaksa polis melepaskan gas pemedih mata beberapa kali sehingga keadaan reda.
Datuk Bandar Istanbul, Huseyin Avni Mutlu berkata, pihaknya akan berusaha membersihkan kawasan Dataran Taksim sebelum ia dibuka semula kepada orang awam. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130613/lu_03/Polis-Turki-berjaya-kawal-Dataran-Taksim#ixzz2W8bqTPWs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment