Thursday, June 20, 2013

Kes Yazid, Muhammad Hilmi dikembalikan ke Mahkamah Tinggi


Yazid Sufaat (kiri) dan Muhammad Hilmi Hasim.
PUTRAJAYA 18 Jun - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan kes terhadap bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan rakannya, Muhammad Hilmi Hasim berkaitan tuduhan melibatkan keganasan, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.
Sehubungan itu, kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Mei lalu yang melepas dan membebaskan Yazid, 49, daripada tuduhan itu dan Muhammad Hilmi, 33, daripada tuduhan bersubahat.
Mahkamah memerintahkan Yazid (responden pertama) dan Muhammad Hilmi (responden ketiga) direman sementara menunggu kes itu disebut di Mahkamah Tinggi pada 24 Jun ini.
Hakim Abu Samah ketika membacakan keputusan itu menyatakan, tuduhan terhadap kedua-duanya tertakluk dalam ruang lingkup dan skop pemakaian Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Pada hemat panel itu, hakim bicara tersalah tafsir Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Perkara 149 apabila membuat keputusan berhubung ancaman keganasan.
Hakim Kamardin Hashim dalam keputusannya menyatakan, SOSMA di bawah Perkara 149 hanya terpakai bagi ancaman keganasan yang dituju kepada keselamatan dalam negeri oleh orang atau sekumpulan orang yang berada di dalam dan di luar Malaysia.
Hakim Kamardin berkata, oleh kerana pertuduhan terhadap mereka melibatkan keganasan di Syria, maka ia tidak tertakluk dalam ruang lingkup Perkara 149.
Keputusan hari ini bagaimanapun tidak melibatkan seorang lagi rakan Yazid, Halimah Hussien, 52, yang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat kerana rayuan itu didengar tanpa kehadirannya.
Pada 31 Mei lalu, mahkamah sama mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita tersebut kerana gagal hadir pada prosiding rayuan pendakwa raya.
Mahkamah menetapkan kes terhadap Halimah disebut untuk pengurusan kes pada satu tarikh lain.
Selepas keputusan diumumkan, peguam Amer Hamzah Arshad yang mengetuai barisan pembelaan memohon agar semua prosiding berkaitan perbicaraan dan permohonan interlokutori oleh pihak pendakwaan ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Hakim Abu Samah membenarkan permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memaklumkan pihaknya tiada bantahan.
Amer Hamzah turut memohon kebenaran mahkamah agar pihak pembelaan diberi peluang mengadakan pertemuan dengan kedua-dua responden selepas mahkamah bersidang dengan kehadiran isteri responden pertama dan ibu responden ketiga yang turut hadir hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130619/ma_03/Kes-Yazid-Muhammad-Hilmi-dikembalikan-ke-Mahkamah-Tinggi#ixzz2WhwOkhe4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment