Tuesday, June 4, 2013

Kisah sedih keluarga Jumahir

Kisah sedih keluarga Jumahir
Berikutan mengalami kecacatan, isteri dan empat anak lelaki Jumahir tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengesot untuk bergerak.
KEMAMAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah situasi sukar yang dialami seorang bapa lima anak kerana bukan sahaja isteri lumpuh malah empat anak turut menghidap penyakit sama.

Luluh hati Jumahir Mahsom, 47, apabila seorang demi seorang anak lelakinya tidak membesar dengan normal, sebaliknya hanya mampu bergerak dengan mengesot sahaja apabila usia mereka mencecah lebih setahun, kerana mengalami kecacatan fizikal dan lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

Kesemua anak lelakinya itu, Ahmad Arif Aiman, 17; Ahmad Aripin, 13, Ahmad Zainudin, 9, dan Ahmad Budiman, 8, yang mewarisi penyakit genetik daripada ibu mereka hanya menghabiskan masa di rumah kerana pergerakan yang terbatas.

Hanya seorang anaknya iaitu yang ketiga dan juga perempuan tunggal, Nor Hanisah, 12, yang normal dan mampu berjalan serta bersekolah.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, Jumahir sendiri tidak dapat bekerja berat berikutan penyakit gout yang dialaminya.

Jumahir yang melakukan kerja-kerja kampung berkata, biarpun ujian maha besar itu kadangkala membuatkannya menitiskan air mata, namun dia reda.

“Malah, saya kagum dengan semangat isteri, Rohayati Abdullah, 42, kerana biarpun kurang upaya dia tetap jalankan tanggungjawab dalam rumah tangga.

“Walaupun isteri dan anak bergerak secara mengesot, tetapi mereka boleh berdikari dan anak pandai menguruskan diri sendiri,” katanya ketika menerima kunjungan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Semai Bakti Felda Kerteh 6 dan Skuad Sayang Dun Kemasik di rumah mereka di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Felda Kerteh 6.

Rombongan KRT dan Skuad Sayang itu yang diketuai Pengerusi KRT Kampung Semai Bakti, Anuar Husin dan turut disertai isteri Adun Kemasik, Fadzliaton Ruhaizan Ramli menyampaikan sumbangan hamper buat Jumahir sekeluarga.

Sementara itu, Anuar berkata, keluarga Jumahir sering diberikan keutamaan untuk menerima bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Tujuan kita menziarahi keluarga ini bagi menunjukkan bahawa keluarga mereka sentiasa diberikan perhatian dan pihak KRT mengambil berat akan nasib penduduk yang kurang berkemampuan.

"Diharapkan sumbangan yang disampaikan dapat menggembirakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang bersimpati dan mahu menyumbang boleh menghubungi Jumahir menerusi talian 014-5401915.

No comments:

Post a Comment