Tuesday, June 4, 2013

Presiden Turki gesa penduduk bertenang

Presiden Turki gesa penduduk bertenang
Polis antirusuhan terus berkawal di luar kawasan berhampiran pejabat perdana menteri di Ankara, semalam. Gambar kecil: Abdullah Gul
ANKARA - Presiden Turki, Abdullah Gul, semalam menggesa penduduk supaya bertenang selepas negara itu dilanda protes antikerajaan sejak empat hari lalu.

Agensi berita Anatolia melaporkan presiden berjanji bahawa mesej yang disampaikan oleh mereka telah 'diterima'.

"Saya menggesa semua penduduk mematuhi undang-undang dan menyatakan bantahan atau pandangan mereka mengikut saluran yang betul tanpa mencetuskan kekacauan seperti sekarang," katanya.

Selain itu, beliau turut memberi amaran terhadap mana-mana tindakan yang cuba untuk merosakkan imej negara tersebut.

Tunjuk perasaan yang bermula sebagai kempen alam sekitar itu bertukar ganas dan menjadi protes besar-besaran membantah kepimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan yang menyandang jawatan tersebut sejak setahun lalu.  

Demonstrasi yang menyaksikan pertempuran antara pihak berkuasa dan penunjuk perasaan itu juga menyebabkan ratusan termasuk 115 anggota pasukan keselamatan cedera.

Menteri Dalam Negeri, Muammer Guler berkata, susulan daripada insiden keganasan tersebut lebih 1,700 orang telah ditahan di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, bursa saham utama Turki jatuh mendadak yang menyaksikan indeks Borsa Istanbul 100 susut kepada 6.43 peratus hingga mencetuskan kebimbangan kepada pelabur tentang kesan ketidakstabilan itu pada ekonomi. - AFP

No comments:

Post a Comment