Wednesday, June 5, 2013

Siapakah Abu Lahab ?

Azha Suib

Abu Lahab ialah bapa saudara Nabi saw yang sangat sayang dan kasih sebelum kerasulan baginda. Nama sebenarnya ialah Abdul Uzza bin Abdul Muttalib. Di gelar Abu Lahab kerana dia seorang yang kacak dan rupawan, tetapi panas baran dan mudah tersinggung. Disebabkan kekacakkannya, maka tidak hairanlah dia dapat berkahwin dengan perempuan yang paling jelita di Mekah, iaitu Hindun bt Harb yang mendapat julukan Ummu Jamil.

Rumahnya bersebelahan dengan rumah Rasulullah saw. Oleh kerana hubungan mereka sangat rapat sebagai kerabat dan jiran terdekat menjadikan Abu Lahab dan isterinya sangat kasih kepada Rasulullah saw sehingga menjodohkan anak-anak lelakinya iaitu Utbah berkahwin dengan Ruqaiyyah manakala Utaibah berkahwin dengan Ummi Kalthum anak perempuan Rasulullah saw.

Di antara perangai keji Abu Lahab ialah dia sangat suka berjudi. Dia termasuk di kalangan lima orang tokoh Quraisy yang paling kuat berjudi selain Abu Jahal, Al-Harith bin Amir, Al-Kahiyar bin Adi dan Al-Azhar bin Auf.

Tetapi sejak Nabi saw dilantik menjadi Rasul, dia merasakan ajaran Islam yang dibawa oleh baginda bakal menganggu aktiviti hariannya yang suka berjudi, walaupun ketika itu belum turun ayat-ayat Al-Quan yang melarang umatnya daripada berjudi.

Oleh kerana itulah Abu Lahab dan isterinya bertukar menjadi orang yang paling membenci Rasulullah saw. Kebenciannya sehingga ke tahap menyuruh anak-anak lelakinya iaitu Utbah dan Utaibah menceraikan anak-anak gadis Rasulullah saw. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu melihat anak-anak Rasulullah berada dalam keluarganya.

Selain itu di antara kejahatan Abu Lahab ke atas Rasulullah saw ialah,

1. Selalu melemparkan najis di depan pintu rumah Rasulullah saw. Setiap pagi, Rasulullah saw, isteri dan anak-anak baginda akan membersihkan kekotoran yang bertampalan di pintu, di dinding dan di halaman rumah baginda sambil menyindir, “ Wahai anak cucu Abdul Manaf, beginikah cara kita hidup berjiran ?”.

2. Abu Lahab juga sering mengekori Nabi saw ketika baginda menyebarkan dakwah, seolah-olah bertindak sebagai pengiring kepada baginda. Jika Nabi saw pergi ke Pasar, dia pun akan ke Pasar, kalau Nabi saw ke Masjidil Haram, maka dia pun turut ke masjid ini sambil berkata, “ Wahai tuan-tuan semua, janganlah tuan-tuan percaya kepada orang yang bernama Muhammad itu. Dia sebenarnya sudah gila., sudah hilang akalnya. Aku sangat kenal dirinya kerana dia merupakan kerabatku yang terdekat”.

3. Abu Lahab juga membakar api kemarahan orang-orang Quraisy dengan kata-kata “ Muhammad mencela agama nenek moyang kita, dan mendakwa nenek moyang kita semuanya akan masuk neraka kerana beragama menyembah berhala”.

Isteri Abu Lahab yang bernama Ummu Jamil turut memainkan peranan membakar hati kaum wanita Mekah. Ketika turun surah Al-Lahab yang mencela suami dan dirinya, Ummu Jamil seperti cacing kepanasan. Dia sangat marah lalu dicarinya Nabi saw di masjid untuk dimaki hamun.

Satu hari Ummu Jamil meluru ke Masjid. Ketika itu Nabi saw sedang duduk bersama dengan Saidina Abu Bakar. Bila melihat kedatangan Ummu Jamil, Saidina Abu Bakar menasihatkan Rasulullah saw supaya meninggalkan masjid tersebut. Jawab Nabi saw,

“ Tidak mengapa wahai Abu Bakar, kerana antara aku dengan dia ada dinding yang menghalang”.

Apabila Ummu Jamil sudah berada di depan Abu Bakar dia pun menjerit,

“Wahai Abu Bakar, adakah sahabatmu mengatakan bahawa aku dan suamiku bakal calon api neraka ?”.

Jawab Abu Bakar,

“Tidak, dia bukan menghina kamu, Cuma dia membacakan firman Tuhan. Itu sahaja ”

Bila mendengar jawapan Abu Bakar, Ummu Jamil pun berkata,

“Engkau memang sentiasa membenarkan dia”, sambil berlalu pergi tanpa menyedari bahawa Rasulullah saw berada di sebelah Saidina Abu Bakar.

Bila dia sudah keluar dari Masjid, maka berkatalah Abu Bakar,

“Ya Rasulullah, memang dia tidak sedar yang tuan berada di sebelahku”.

Jawab Nabi saw,

“Wahai Abu Bakar, para malaikat menutup matanya dari melihatku sehingga dia pergi”.

Mengadu kepada abangnya Abu Sufiyan

Betapa sakitnya hati Ummu Jamil kepada Nabi saw, satu hari dia mengadu kepada abangnya Abu Sufiyan,

“Wahai abang kandungku abu sufiyan, apakah abang tidak merasa marah jika mendengar adik abang dicaci oleh Muhammad dan pengikut-pengikutnya ?”.

Jawab Abu Sufian,

“ Wahai adikku, tentulah abang merasa marah. Kalau Muhammad mencaci adik, samalah dia mencaci abang. Bersabarlah wahai adikku, sekarang juga abang akan habiskan nyawa Muhammad”.

Abu Sufiyan kemudian menghunuskan pedangnya menuju ke Masjid untuk membunuh Rasulullah saw

Bila melihat abangnya bersemangat mahu membunuh Nabi saw, maka sukalah hati Ummu Jamil sambil berkata,

“Padan muka engkau ya Muhammad, sebentar lagi kepalamu akan berpisah dari badan, dipancung oleh abangku yang gagah iaitu Abu Sufiyan”.

Tidak berapa lama selepas itu, Abu Sufiyan berlari-lari menuju kepada adiknya dalam keadaan termengah-mengah. Maka bertanyalah Ummu Jamil dalam kehairanan,

“Wahai abangku, mengapa abang termengah-mengah seperti ini ? Adakah kerana abang dikejar oleh Abu Bakar yang marah disebabkan kematian Muhammad ? Takkanlah abang takut dengan Abu Bakar yang badannya agak kurus daripada abang ? Atau adakah kerana abang takut dikejar oleh Muhammad ? Sungguh mustahil, bukankah Muhammad itu hanya seorang pendakwah, dia bukan seorang pembunuh ? Ceritakanlah kepadaku wahai abangku Abu Sufian apakah yang telah terjadi sebenarnya ? ”, tanya Ummu Jamil.

Jawab Abu Sufiyan dalam keadaan termengah-mengah.

“Wahai adikku, apakah adik suka melihat abang ditelan ular besar ?”.

Jawab Ummu Jamil,

“ Demi Lat dan Uzza, tuhan berhala yang kita sembah, tentulah hati ku akan bersedih jika abang di makan ular ”

Kata Abu Sufiyan,

“Wahai adikku, ketika abang menghampiri Muhammad, abang melihat seekor ular yang sangat besar. Kepala ular itu hampir-hampir mahu menelan abang. Abang juga melihat ular itu bersiap sedia untuk mengejar sebab itu abang lari lintang pukang meninggalkan Muhammad”.

Demikianlah kisah Abu Lahab dan isterinya yang sangat benci kepada perjuangan dakwah Rasulullah saw.

Huraian ayat

“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa "(1)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahwa kedua-dua tangan Abu Lahab akan binasa. Digunakan perkataan tangan, kerana daripada tangan itulah manusia akan berusaha untuk mencapai sesuatu. Justeru usaha Abu Lahab untuk membinasakan dakwah dan perjuangan Nabi Muhammad saw, akan hancur dan rosak binasa.

Malah Abu Lahablah yang sebenarnya akan binasa disebabkan kedurjanaan yang dilakukan ke atas Rasulullah saw.

Menurut riwayat, Abu Lahab meninggal dunia selepas berlakunya peperangan Badar pada tahun ke 2 hijrah. Dia yang tidak turut serta dalam peperangan ini, mati terkejut apabila tentera musrikin balik membawa berita kekalahan. Sedangkan sudah banyak wang dan harta yang dibelanjakan oleh Abu Lahab bagi membiayai perang ini dengan harapan Muhammad dan pengikut-pengikutnya akan kalah.

Namun sebaliknya pula berlaku. Tentera musyrikin kalah teruk sehingga ramai kawan-kawan karib Abu Lahab turut sama terkorban. Setelah demam beberapa hari, Abu Lahab akhirnya mati. Namun mayat Abu Lahab cepat membengkak dan membusuk menyebabkan isteri dan anak-anaknya tidak sanggup menguruskan jenazah Abu Lahab. Jalan terbaik ialah mereka menendang jenazah Abu Lahab terus masuk ke lubang kubur dengan penuh penghinaan.

Firman Allah SWT seterusnya.

“Tidak ada gunanya harta itu kepadanya dan juga apa yang diusahakannya”.(2)

Semasa melakukan kerja-kerja kejahatan, Abu Lahab menggunakan segala wang dan hartanya bagi memastikan ajaran Muhammad dapat dihapuskan. Malah perbelanjaan perang Badar di pihak musyrikin pun dia tan Namun di akhirat nanti, segala wang dan hartanya tidak dapat digunakan untuk menebus dirinya daripada azab api neraka Allah SWT.

Ayat ini memberi pengajaran kepada kita, sesuatu perjuangan yang benar tidak akan dapat dihapuskan walaupun menggunakan modal yang banyak oleh pihak musuh.

Firman Allah SWT lagi,

“Dia kelak akan masuk ke dalam api neraka yang lidah apinya menjulang-julang”. (3)

Ayat ini menceritakan azab pedih yang bakal menimpa Abu Lahab. Sudahlah mati dalam penuh kehinaan, hartanya habis digunakan untuk membiayai peperangan Badar, malah di akhirat pula akan diseksa dalam api neraka yang menjulang-julang. Inilah yang dikatakan sudah jatuh ditimpa tangga.

Firman Allah SWT dalam ayat ke 4,

“Dan juga isterinya, pembawa kayu api” (4).

Maksudnya isteri Abu Lahab juga akan turut bersama suaminya diazab dalam neraka kerana peranan yang dimainkan semasa hidup sebagai pembawa api fitnah. Dialah sebagai ketua pergerakan wanita yang bertugas membakar hati-hati kaum perempuan Quraisy supaya membenci ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw.

Dialah yang menyalakan api permusuhan dan kebencian di kalangan penduduk Mekah sehingga keturunan Nabi di pihak Bani Hashim dipulau beberapa tahun, tidak dibenarkan berurusan jual beli dengan mereka. Akibat pemulauan ini Bani Hasyim mengalami penderitaan, kesusahan dan kelaparan.

Ada juga pendapat mengatakan, Ummu Jamil ini sering membawa kayu-kayu api berduri untuk diserakkan di jalan yang sering Nabi Muhammad saw lalui. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk menyakiti Rasulullah saw.

Firman Allah SWT di akhir ayat,

“Pada lehernya ada tali dari tali yang dipintal “(5).

Di akhirat kelak, tali-tali pemintal yang digunakan untuk mengikat kayu api semasa di dunia akan bertukar menjadi rantai besi lalu disangkut dilehernya menjadikan berambah azab seksaan di dalam neraka kelak.

Ada juga pendapat mengatakan, Ummu Jamil ada seutas rantai yang mahal harganya. Dia pernah bersumpah,

“Demi Latt dan Uzza, rantaiku ini akan ku jual untuk dijadikan modal buat menentang ajaran Muhammad”.

Maka Allah SWT menghukumnyadengan mengikat lehernya dari tali pemintal api neraka.

Wallhualam.

No comments:

Post a Comment