Tuesday, July 30, 2013

IBRAHIM SEKUTU AS-SISI



Tidak adil jika hanya menghalakan serangan kepada Abdul Fatah As-Sisi, Menteri Pertahanan tanpa membongkar kebobrokan sekutunya, Menteri Dalam negeri Mesir bernama Mohammed Ibrahim. Dua menteri ini pernah berkhidmat di bawah kerajaan Mursi sebelum ini tetapi khianat kepada ketua negara yang dipilih oleh rakyat secara sah.

Ibrahim pada awal pelantikannya sebagai menteri pada awal Februari 2013 dilihat banyak bekerjasama dengan pentadbiran Mursi. Ini kerana sudah beberapa menteri dilantik bagi membersihkan imej pasukan polis yang masih dibelenggu dengan "karat" Mubarak.

Pelantikan Ibrahim, yang sebelum itu merupakan Ketua Jabatan Penjara dilihat mampu membersihkan KDN dan polis dari 'tangan-tangan kotor' sehingga dia dilabel sebagai "orang Ikhwan". Pernah kumpulan sekular pemuda "6 April" mengadakan demonstrasi di kediaman Ibrahim dengan mengangkat seluar dalam dan melabelkan Ibrahim sebagai "pelacur Ikhwan Muslimin" kerana ketegasannya berhadapan dengan kumpulan pembangkang Mursi ketika itu. Dia jua mengarahkan polis mengadakan kawalan ketat di sekitar Istana Ittihadiyah yang memaksa pembangkang Mursi terpaksa berundur kerana ketegasan pasukan polis waktu itu.

Tetapi, dalam sekelip mata Ibrahim bertukar wajah menjadi pengkhianat kepada Mursi di hari-hari akhir rampasan kuasa berlaku. Dalam berhadapan suasana huru-hara yang dicetuskan oleh kumpulan Tamarrud dan militia samseng, antara yang menjadi sasaran dahsyat ialah pejabat-pejabat Ikhwan dan partinya, FJP.

Mursi dilaporkan telah menghubungi Ibrahim meminta polis berkawal di markaz Induk Ikhwan di Muqattam. Serta-merta Ibrahim membangkang arahan ketuanya itu. "Jika tuan mahu juga, sila minta askar yang jaga. Polis sama sekali tidak akan turun jaga." Demikian nada biadap Ibrahim seperti dilaporkan oleh sumber Ikhwan dan FJP. Lalu hampir ranap markaz Induk itu diserang dan dicerobohi oleh kumpulan samseng.

Ibrahim juga antara menteri yang diarahkan oleh Mursi bagi membasmi militia samseng upahan seperti dalam ucapan Mursi, akhir Jun. Malangnya, Ibrahim mengabaikan perintah tersebut kerana rupanya kementeriannya yang menjaga serta memelihara "tanzim" militia samseng itu selama ini.

No comments:

Post a Comment