Saturday, July 20, 2013

Ketua Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Mendesak Mesir Tentang Penahanan Mursi]



Pegawai tertinggi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meminta kerajaan sementara Mesir untuk menjelaskan mengapa pihak tentera menahan Presiden Muhammad Mursi yang digulingkan beserta orang-orang kanannya dan samada pihak tentera merancang untuk membicarakan mereka, seorang jurucakap PBB berkata pada hari Jumaat.

Ketua Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay telah bertemu duta Mesir di Geneva sepuluh hari yang lalu dan mendesak maklumat berkenaan Mursi dan orang-orangnya, terutamanya asas guaman bagi penahanan mereka.

Beliau telah meminta senarai penuh nama-nama mereka yang diarahkan untuk ditahan dan mereka yang sedang dalam tahanan, jurucakap Pillay Rupert Colville berkata dalam sidang akhbar di Geneva.

Menurut beliau, pihak Mesir masih belum memberikan sebarang jawapan.

"Kami secara spesifiknya bertanya mengenai Mursi dan ahli pasukan kepimpinannya dan mengenai mereka yang ditahan. Malah jumlah mereka (yang ditahan) tidak kami ketahui pada masa ini," Colville berkata.

Pillay telah memaklumkan kerajaan baru Mesir bahawa beliau ingin menghantar satu pasukan ke Mesir bagi mengetahui lebih lanjut mengenai siasatan ke atas insiden-insiden tembakan dan cara siasatan tersebut dijalankan, ujar beliau lagi.

"Kami menanti kelulusan daripada pihak berkuasa Mesir dan satu pasukan sudah pun bersedia untuk dikerahkan serta-merta sebaik sahaja kelulusan diterima," Colville berkata. Pasukan tersebut juga ingin menasihati kerajaan sementara Mesir berkenaan pembaharuan perlembagaan.

Gambar: Ketua Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay

Sumber : Reuters, Voice of America
‪#‎mesirkini‬

No comments:

Post a Comment