Thursday, July 4, 2013

Tentera Mesir guling Presiden Mohammed Mursi

KAHERAH 4 Julai - Tentera Mesir semalam menggulingkan dan menahan Presiden Mohammed Mursi selepas seminggu tunjuk perasaan besar-besaran yang menyebabkan berpuluh-puluh orang maut tercetus di negara ini.
Menteri Pertahanan, Panglima Tentera Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan penggulingan Mursi di televisyen kerajaan ketika polis mula menahan penolong-penolong kanan Presiden dan pemimpin pergerakan Ikhwan Muslimin.
Waran tangkap turut dikeluarkan kepada sejumlah 300 pegawai Ikhwan Muslimin, lapor media milik kerajaan.
Berita tentang penggulingan itu turut mencetuskan kegembiraan kepada beribu-ribu penunjuk perasaan yang berkhemah di jalan-jalan raya di sekitar bandar raya Kaherah sejak beberapa hari lalu dengan sesetengah daripada mereka meraikannya dengan letupan mercun.
Namun, sekurang-kurangnya tujuh penyokong Mursi maut dalam pertempuran dengan anggota keselamatan di Iskandariah dan di bandar Marsa Matrouh, menurut pegawai keselamatan.
Sekurang-kurangnya 50 orang dilaporkan maut dalam pertempuran antara penyokong dan penentang kerajaan sejak minggu lalu iaitu menjelang ulang tahun pertama Mursi dilantik menjadi Presiden Mesir.
Menurut Jurucakap Ikhwan Muslimin, Gehad El-Haddad, Mursi dan penolong-penolong kanannya ditahan di kemudahan tentera.
Katanya, Mursi bagaimanapun dipindahkan ke Kementerian Pertahanan dengan ayahnya, Essam El-Haddad adalah antara penolong kanan Mursi yang ditahan.
Sisi dalam ucapannya turut memperincikan tentang pelan tindakan bagi peralihan kuasa politik. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130704/lu_11/Tentera-Mesir-guling-Presiden-Mohammed-Mursi#ixzz2Y5MP2WeV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment