Friday, September 6, 2013

Pergerakan Islam protes pertandingan Miss World


Sebahagian penyokong wanita Pergerakan Hizbut Tahrir menyertai demonstrasi di luar Kementerian Kebajikan Masyarakat di Jakarta bagi membantah penganjuran pertandingan ratu cantik Miss World, di Bali, semalam. - AFP
JAKARTA 5 Sept. - Lebih 1,000 penyokong pergerakan Islam mengadakan demonstrasi membantah penganjuran pertandingan ratu cantik Miss World di Indonesia, hari ini ketika tunjuk perasaan terus bertambah menjelang pembukaan acara itu hujung minggu ini.
Kira-kira 800 lelaki dan wanita daripada Pergerakan Hizbut Tahrir berkumpul di luar Kementerian Kebajikan Masyarakat di sini menggesa kerajaan supaya membatalkan pertandingan itu.
Mereka berarak dari ibu pejabat media MNC yang akan menyiarkan acara itu dan juga merupakan penganjur tempatan bagi pertandingan itu dengan membawa kain rentang tertera 'MNC: menyebarkan kotoran dan pornografi' dan 'Miss World: ratu penyelewengan'.
Satu daripada penunjuk perasaan pula melaungkan: 'Adakah negara kami perlu dilihat sebagai yang paling lucah.'
''Kami akan terus mengadakan perhimpunan ini bagi memberitahu kepada orang ramai bagaimana pertandingan ini menjatuhkan martabat wanita,'' kata penganjur penunjuk perasaan, Zikra Asri.
Pihak yang menentang penganjuran ratu cantik di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia itu semakin menjadi-jadi sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan mereka mendesak pertandingan itu dibatalkan.
Di bandar Medan di kepulauan Sumatera, kira-kira 500 anggota Hizbut Tahrir mengadakan demonstrasi dengan berarak menuju ke bangunan kerajaan, mendesak pertandingan tersebut dibatalkan.
Di sebalik gesaan itu, pihak penganjur bertegas akan meneruskan pertandingan itu yang akan bermula Ahad ini di Bali. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130906/lu_02/Pergerakan-Islam-protes-pertandingan-Miss-World#ixzz2e6q7NrTF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment