Wednesday, October 23, 2013

Arab Saudi hukum 200,000 orang kerja haji tanpa permit

ABHA 22 Okt. - Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi telah menghantar surat pekeliling kepada semua gabenor tempatan supaya mengambil tindakan terhadap penduduk negara ini dan warga asing yang mengerjakan ibadat haji tanpa permit.
Kesemua pesalah akan dipanggil pada Ahad depan ke balai polis berhampiran di seluruh kerajaan itu untuk dikenakan hukuman.
Kesemua gabenor telah diarah mencari 120,000 jemaah haji yang dikesan melalui cap jari ketika melakukan ibadat haji tanpa permit dan membawa mereka ke balai polis berdekatan.
Pada tahun ini, agensi-agensi keselamatan menggunakan mesin cap jari di Mekah dan Tanah Suci di Mina dan Arafat bagi mengesan penduduk Arab Saudi dan warga asing mengerjakan haji tanpa permit.
Menurut sumber, tidak akan berlaku kelonggaran terhadap pesalah, dan kerajaan Arab Saudi telah memberi jaminan di hadapan pihak berkuasa, pesalah perlu membayar denda, manakala warga asing akan diusir dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini dalam tempoh 10 tahun.
Sejurus selesai ibadat haji, Lembaga Pengarah Pasport mula menghantar pesanan kepada majikan dan pekerja, meminta mereka menamatkan kontrak kerja pekerja asing yang mengerjakan ibadat haji secara haram.
Beberapa pekerja asing telah mengesahkan bahawa majikan mereka menerima pesanan itu.
Menurut sumber, lebih 200,000 penduduk Arab Saudi dan warga asing mengerjakan ibadat haji pada tahun ini tanpa permit berbanding lebih 600,000 orang pada tahun lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_04/Arab-Saudi-hukum-200000-orang-kerja-haji-tanpa-permit#ixzz2iXNvdkpy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment