Wednesday, October 23, 2013

Balu Gaddafi minta PBB siasat kematian suaminya


Gambar bertarikh 27 Februari 2004 merakamkan Safia Farkash ketika menghadiri perasmian mesyuarat AU di Sirte, Libya. - AFP
TRIPOLI 22 Okt. - Balu bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menggesa Kesatuan Afrika (AU) menyiasat kematian suami dan anak lelakinya, Mutassim.
Menerusi surat yang disiarkan di radio Suara Rusia kelmarin, Safia Farkash turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) membantunya mengesan lokasi pengebumian kedua-dua anggota keluarganya itu.
"Mana-mana pihak yang mempunyai sumber atau kaitan dengan pembunuhan suami dan anak lelaki saya perlu bantu saya untuk mengesan lokasi pengebumian mereka.
"Hal ini bagi membolehkan suami dan anak saya disemadikan dengan cara yang betul," katanya.
Safia turut meminta bantuan antarabangsa bagi menghubungi seorang lagi anak lelakinya, Saif al-Islam yang ditahan kumpulan pemberontak di selatan Libya pada November 2011.
"Saya berharap masyarakat dunia dapat membantu saya mencari dan menghubungi Saif yang telah terpisah daripada kami sejak dia ditahan," ujarnya.
Saif kini ditahan di bandar Zintan dan sedang menunggu perbicaraan berhubung dakwaan jenayah ketika kebangkitan rakyat pada 2011.
Safia dan tiga lagi anaknya iaitu Aisha, Hannibal dan Mohamed melarikan diri ke Algeria pada Ogos 2011 ketika pemberontak merampas Tripoli.
Sekeluarga itu kemudian mendapat suaka politik di Oman pada tahun ini.
Dua lagi anak lelaki Gaddafi yang terkorban ketika kebangkitan rakyat ialah Saif al-Arab yang maut dalam serangan udara NATO dan Khamis yang terkorban dalam pertempuran. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_05/Balu-Gaddafi-minta-PBB-siasat-kematian-suaminya#ixzz2iXQFAcr2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment