Saturday, November 30, 2013

Malapetaka ekstremis Islam


Beijing: Golongan Islamis di Xinjiang, China, dituduh media China cuba mengharamkan televisyen, nyanyian dan hiburan lain dan membayangkan sifat ekstremis mereka beragama.

Akhbar rasmi Xinjiang Daily memetik ketua biro pekerjaan wilayah itu Yusufujiang Maimaiti sebagai berkata, ada pihak yang cuba memaksa orang Islam tempatan menerima amalan ekstremis.

“Mereka melarang orang ramai menyanyi dan menari selain menghasut mereka membenci kerajaan, tidak menggunakan sijil perkahwinan dan kad pengenalan diri.

“Mereka juga melarang penganut Islam untuk menonton televisyen, filem serta mendengar ajaran agama pemimpin patriotik,” katanya.

Menurut Yusufujiang, kumpulan ekstremis itu turut menghasut orang ramai supaya menolak semua jenis pakaian moden serta tradisional, selain mempunyai pelbagai taktik supaya penduduk setempat mengikut cara itu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti kumpulan terbabit tetapi menegaskan mereka menyebarkan ajaran palsu dan terpesong.

Kebanyakan penganut Islam di Xinjiang memang hidup terkongkong dari segi amalan, bahasa dan budaya mereka walaupun kerajaan mendakwa memberi kebebasan penuh untuk mengamalkan agama masing-masing.

Penganut Islam di daerah itu mengamalkan agama lebih sederhana namun akhir-akhir ini lebih ramai mengikut amalan di Pakistan serta Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment