Friday, November 22, 2013

Thai cadang bina tembok di sempadan


Gambar fail merakamkan beberapa orang penduduk kampung berehat di tepi Sungai Golok ketika pembukaan Jambatan Persahabatan Ke-2 Thailand-Malaysia, yang menghubungkan Narathiwat di Thailand dan negeri Kelantan di Malaysia pada 21 Disember, 2007. - AGENIS
BANGKOK 21 Nov. - Thailand menyuarakan harapan supaya dapat bekerjasama dengan Malaysia untuk membina sebuah tembok konkrit dan kawat berduri di kebanyakan kawasan sempadan bersama kedua-dua negara bagi menangani kegiatan pemberontakan dan penyeludupan.
Jurucakap Pemerintah Operasi Keselamatan Dalaman (Isoc), Banpot Phupian berkata, Malaysia pada prinsipnya bersetuju dengan cadangan itu.
Sehubungan itu, katanya, topik mengenainya akan dipertimbangkan secara terperinci pada mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama seterusnya.
Thailand yang membuat tinjauan berhubung cadangan itu di kawasan sempadan menganggarkan tembok tersebut perlu dibina sepanjang 156.7 kilometer.
Selain itu, sebanyak 6.5 kilometer tembok dilengkapi kawat berduri diperlukan di daerah Na Thawee, Songkla; 130.9 km lagi di sepanjang sempadan daerah Sadao dan Saba Yoi di Songklha dan daerah Tak Bai dan Waeng di Narathiwat.
Sebanyak 9.3 kilometer tembok berpagar turut diperlukan di Yala. Thailand dan Malaysia mempunyai sempadan tanah keseluruhan sepanjang 647 kilometer.
Ketua Tentera Thailand, Prayuth Chan-ocha, sebelum ini mencadangkan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Thailand, Yingluck Shinawatra tentang cadangan pembinaan tembok dan pagar itu dengan memberi alasan, kumpulan pemisah yang bertanggungjawab melakukan keganasan di wilayah selatan, beroperasi di sepanjang sempadan antara kedua-dua negara dan membawa bahan-bahan letupan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_04/Thai-cadang-bina-tembok-di-sempadan#ixzz2lJgboNvO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment