Friday, November 22, 2013

Wang tajaan guna bayar K-Pop

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR


AHMAD SHABERY melambai tangan kepada wartawan selepas selesai memberi keterangan isu kos penganjuran Hari Belia Negara 2012 kepada PAC di bangunan Parlimen semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima tajaan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM2.3 juta daripada pihak swasta bagi menjayakan persembahan tiga kumpulan K-Pop dari Korea Selatan pada sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2012.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, hanya RM1.6 juta daripada keseluruhan wang berkenaan dibelanjakan untuk tujuan persembahan artis Korea Selatan itu iaitu RM900,000 untuk bayaran artis dan RM700,000 untuk kos pengangkutan, penginapan, makanan dan cukai kerajaan.
"Pendahuluan wang bayaran tersebut diambil daripada peruntukan kerajaan berikutan artis dari Korea Selatan tersebut perlu ditempah lebih awal sebelum hari sambutan HBN," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini semalam.
Terdahulu, Ahmad Shabery yang menjadi Menteri Belia dan Sukan ketika penganjuran HBN 2012 tampil memberi penjelasan berhubung isu terbabit secara sukarela kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dihadiri Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli-ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menegur KBS kerana berbelanja secara tidak berhemah bagi penganjuran HBN 2012 yang mencecah sehingga RM2.94 juta.
Ia termasuk bayaran kepada tiga kumpulan K-Pop iaitu Dal Shabet, Teen Top dan U-kiss berjumlah RM1.6 juta yang disifatkan tinggi dan tidak selaras dengan peraturan perbelanjaan berhemah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2lJdTCyOi 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment