Monday, December 2, 2013

Tunjuk perasaan: Polis Thai guna meriam air, gas pemedih mata


BANGKOK 1 Dis. - Percubaan beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan untuk menguasai Rumah Kerajaan di sini setakat ini berjaya dihalang polis melalui penggunaan meriam air dan gas pemedih mata.
Pada 1 tengah hari (waktu tempatan) atau kira-kira dua jam selepas percubaan pertama, para penunjuk perasaan masih cuba menghampiri Rumah Kerajaan, tetapi polis berjaya menggagalkan percubaan mereka untuk memasuki premis pejabat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.
Kali ini, polis kelihatan begitu bersungguh-sungguh menghalang para penunjuk perasaan, berbanding beberapa hari lepas apabila mereka tidak campurtangan untuk menghalang kumpulan itu daripada menguasai kementerian dan agensi kerajaan.
Pada kira-kira 11.50 pagi, para penunjuk perasaan cuba membuang halangan di hadapan Rumah Kerajaan, tetapi sekurang-kurangnya dua tabung gas pemedih mata dilemparkan ke arah mereka.
Usaha penunjuk perasaan menguasai Rumah Kerajaan dijangka meningkatkan ketegangan dan meletakkan pasukan keselamatan dalam keadaan lebih tertekan.
Malam tadi, seorang terbunuh akibat tembakan selepas beratus-ratus orang menyerang bas dan teksi bagi menghalang mereka yang ingin menyertai Baju Merah, kumpulan penyokong kerajaan, berhimpun di Stadium Ratchmangala di sini.
Setakat ini, tiada laporan tentang sebarang rakyat Malaysia terperangkap dalam keadaan itu kerana kedutaan Malaysia di sini terlebih awal menasihati mereka menjauhi tempat tunjuk perasaan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131201/lu_10/Tunjuk-perasaan-Polis-Thai-guna-meriam-air-gas-pemedih-mata#ixzz2mHC5ToK6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment