Sunday, January 19, 2014

11 NGO buat laporan polis isu gambar Perdana Menteri diubah suai


SHAHRUDDIN Ahmad menunjukkan gambar yang mempersendakan Perdana Menteri dan laporan polis di Pekan, Pahang, semalam. - BERNAMA
PEKAN 18 Jan. - Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda UMNO Bahagian Pekan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melemparkan fitnah dan menyebarkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan isu sayur kangkung telah diubah suai di laman-laman sosial.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Shahruddin Ahmad berkata, tindakan sesetengah individu yang mengubah suai gambar Perdana Menteri ketika berucap dengan menggenggam sayur kangkung dilihat keterlaluan dan biadab.
"Bagaimana seorang pemimpin nombor satu negara diperlakukan sedemikian? Tindakan tersebut dilihat sebagai satu penghinaan dan mengguris perasaan warga Pekan yang amat menyanjung tinggi jasa yang ditaburkan beliau.
"Saya harap pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap individu bertanggungjawab," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan mahu tindakan tegas dikenakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang menyumbat kangkung ke dalam mulut patung yang mirip Datuk Seri Najib baru-baru ini.
"Tindakan tersebut sangat biadab. Saya bimbang perlakuan itu akan menyebabkan generasi muda yang tidak tahu tentang sejarah dan kemerdekaan negara akan menyemai sikap benci kepada pemimpin," jelasnya.
Beliau seterusnya meminta pembangkang menghentikan propaganda politik yang berniat jahat dengan memburuk-burukkan kerajaan kerana sekarang bukan masanya untuk berpolitik disebabkan pilihan raya umum telah berlalu.
"Sekarang masa untuk bekerja bagi memastikan kebajikan rakyat terbela. Berilah ruang kepada Perdana Menteri untuk berkhidmat," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140119/dn_12/11-NGO-buat-laporan-polis-isu-gambar-Perdana-Menteri-diubah-suai#ixzz2qmsukAy4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment